Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib arah siasatan segera kes seleweng RM100 juta
Diterbitkan:  Mar 22, 2016 3:35 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan supaya siasatan berhubung isu penyelewengan dana kerajaan berjumlah lebih RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilakukan dengan serta merta.

Menurut Bernama yang memetik Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata kerajaan amat bimbang dengan perkembangan itu.

“Perdana menteri turut mengarahkan siasatan ke atas perkara itu pada kadar segera.

"Rasuah merupakan musuh yang perlu kita perangi di negara ini dan kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal ini," katanya.

Menurutnya, perdana menteri turut mengarahkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan supaya meningkatkan lagi tahap pemerhatian, ketelusan dan akauntabiliti.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sembilan orang termasuk seorang Setiausaha Bahagian KBS yang dikatakan terlibat berhubung isu penyelewengan dana kerajaan mencecah lebih RM100 juta.

Sindiket yang telah beroperasi sejak tahun 2010 didakwa menganjurkan program-program yang tidak wujud dengan pembayaran dibuat kepada kontraktor melalui setiausaha bahagian kementerian itu.

SPRM telah membekukan 69 akaun bernilai RM8.33 juta, dan merampas rumah, kereta, pakaian, barang kemas.

Mereka juga menyita beberapa barangan mewah termasuk 12 kenderaan antaranya Audi, Mercedes Benz, Nissan GTR dan Toyota Vellfire.

Antara barang mewah lain ialah jam berjenama Richard Mille (RM400,000), 40 beg tangan berjenama termasuk jenama Hermes (RM400,000), set cadar mewah (RM300,000), dan barang kemas termasuk cincin mutiara Cartier bernilai RM600,000.

Lihat Komen
ADS