Pengarah Strategik Komunikasi BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, akaun sumpah (SD) dari pemilik banglo, Phang Li Koon yang dibacakan Exco Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh semalam tidak menjawab sebarang persoalan berhubung isu pembelian banglo dan penjualan tanah oleh Lim Guan Eng.
Sebaliknya kata beliau, rakyat dapat melihat kelemahan demi kelemahan yang dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu apabila melakukan percubaan yang pelik dan janggal.
“Ini semua tindakan desperado beliau (Lim) untuk menutup kebarangkalian berlakunya salah guna kuasa dalam urusan pembelian banglo dan penjualan tanah di Taman Manggis sehingga melibatkan orang lain membacakan akuan tersebut.
“Saya kesal kerana ia menunjukkan ada kemungkinan kerajaan negeri terlibat, jika tidak mengapa Exco yang perlu membacakan deklarasi berkanun itu,” katanya yang dipetik akhbar
Utusan Malaysia
, hari ini.
Semalam Phang dalam akuan bersumpah nya, turut memberi amaran bahawa adalah haknya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengaitkannya dengan kontroversi itu.
Phang juga mengisytiharkan bahawa beliau bukan pengarah ataupun pemegang saham syarikat KLDIC yang memenangi bidaan bagi tanah di Taman Manggis yang dilakukan melalui sebuah jawatankuasa tender terbuka yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri.
Katanya, beliau juga tidak terbabit dalam pengurusan syarikat berkenaan.
Sementara itu, akhbar itu juga melaporkan Abdul Rahman mempersoalkan tindakan Phee yang membacakan SD Phang yang mengandungi deklarasi menyangkal penglibatannya sebagai pengarah atau pemegang saham Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) yang berjaya dalam bidaan tanah Taman Manggis.
Phee memberitahu bahawa beliau layak membacakan akuan itu kerana mempunyai hubungan sebagai saudara jauh dengan Phang termasuk menjadi penasihat kepada Persatuan Waris Phee di Pulau Pinang.
Dalam SD itu, Phang menyatakan beliau menjual banglo miliknya itu berdasarkan rela hati antara pembeli dan penjual pada harga RM2.8 juta dan dipersetujui melalui perjanjian bertarikh 23 Jun 2014 serta tidak mendapat sebarang manfaat lain.
Mengulas lanjut, Rahman berkata, semakin hari semakin banyak persoalan yang timbul kesan daripada cubaan terdesak Lim dan semua ini akan terjawab selepas siasatan menyeluruh selesai.
Sebelum ini Lim dibidas pelbagai pihak berikutan pembelian sebuah banglo yang didakwa jauh di bawah harga pasaran.
Ia pertama kali dibangkitkan di Parlimen pada 17 Mac lalu oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.
