Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes seleweng RM100j: SPRM panggil beberapa saksi esok

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa saksi baru bagi merakam keterangan mereka berhubung isu penyelewengan dana kerajaan berjumlah lebih RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) esok.

Menurut sumber Malaysiakini , selain dari KBS, saksi berkenaan adalah dari Majlis Sukan Negara (MSN) dan orang awam.

Beliau juga memberitahu tempoh tahanan reman ke atas dalang utama sindiket penyelewengan dana kerajaan itu yang berakhir Khamis ini akan dilanjutkan mengikut keperluan siasatan.

“Tiada saksi yang akan disiasat sehingga hari ini, tetapi beberapa orang akan dibawa esok.

“Manakala reman bagi tujuh orang akan disambung esok di Mahkamah Putrajaya sekitar jam 9.00 pagi,” kata sumber yang ditemui Malaysiakini di perkarangan ibu pejabat SPRM, Putrajaya, lewat petang tadi.

SPRM Jumaat lalu menahan sembilan orang, termasuk seorang setiausaha bahagian KBS yang didakwa menerima suapan mencecah RM20 juta.

Pegawai kanan berusia 56 tahun itu bersama lapan individu lain, termasuk seorang wanita, ditahan SPRM kerana disyaki mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.

SPRM juga telah membekukan 69 akaun bernilai RM8.33 juta, dan merampas rumah, kereta, pakaian, barang kemas.

Mereka juga menyita beberapa barangan mewah termasuk 12 kenderaan antaranya Audi, Mercedes Benz, Nissan GTR dan Toyota Vellfire.

Antara barang mewah lain ialah jam berjenama Richard Mille (RM400,000), 40 beg tangan berjenama termasuk jenama Hermes (RM400,000), set cadar mewah (RM300,000), dan barang kemas termasuk cincin mutiara Cartier bernilai RM600,000.

Susulan laporan tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa mengarahkan penubuhan pasukan bebas untuk menyiasat kes itu bagi menjamin ketelusan.

Manakala semalam, Ali dilapor telah mengumumkan Jabatan Audit Negara akan menjalankan audit forensik terhadap kementerian serta agensinya bagi mengesan sebarang ketirisan, penyelewengan atau salah guna kuasa, dan ia dilakukan tanpa membabitkan kementerian atau ketua setiausaha negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga dilapor melahirkan rasa kecewanya dalam kes penyelewengan membabitkan rasuah lebih RM100 juta ini dan berikrar tindakan tegas menanti mereka yang terbabit.

Lihat Komen
ADS