Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Abah ditinggalkan di lebuh raya dengan mata tertutup'
Diterbitkan:  Mar 24, 2016 3:39 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 1998, iaitu kira-kira tiga minggu selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri.

Zahid ketika itu adalah ketua pemuda Umno dan penyokong kuat Anwar, yang meletakkannya bertelagah dengan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam temu bual dengan akhbar Sinar Harian , anaknya Datuk Nurulhidayah mengimbas kembali perjalanan politik ayahnya yang melalui pelbagai liku seperti menjadi tahanan ISA sebelum berada di kedudukan hari ini.

"Abah pernah ditahan ISA selama 10 hari, abah ditangkap di Sabah, bayangkan waktu itu saya baru berusia 18 tahun.

"Mak ada cakap kalau abah ditahan dua minggu maknanya Abah akan berada dalam penjara selama dua tahun, tetapi alhamdullilah abah dibebaskan.

"Itu pun mak tulis surat kepada perdana menteri ketika itu, abah dibebaskan di Kuala Lumpur, abah ditinggalkan di lebuh raya dengan mata tertutup," katanya.

Nurulhidayah pada wawancara itu juga mendedahkan bahawa beliau pernah mengambil bahagian dalam protes jalanan ketika zaman Reformasi yang tercetus berikutan pemecatan Anwar.

Bagaimanapun, beliau kini percaya bahawa mengambil bahagian dengan turun ke jalanan bukan kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas bidasan kerana mengkritik perhimpunan BERSIH 4, yang antara lain menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Nurulhidayah berkata, kenyataannya itu adalah berdasarkan pengalaman sendiri semasa mengambil bahagian dalam protes jalanan dan tidak mahu orang lain mengikut jejak langkahnya itu.

"Saya pernah terlibat dalam demonstrasi ketika zaman reformasi dahulu, ketika itu saya baru berumur 20 tahun, saya masih ingat ketika itu saya dengan beberapa pemimpin kena tembak dengan air FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) sebab kami di barisan paling hadapan.

"Habis gatal satu badan...dengan laungan 'undur Mahathir' saya turut dikejar oleh SB (cawangan khas) sehinggakan seluar saya terkoyak kerana tersangkut dengan pokok ketika lari ke Kompleks Daya Bumi ketika itu.

"Bila direnungkan saya rasa seperti saya dipergunakan, sebab itulah saya katakan bahawa demonstrasi ini tidak relevan, sebab saya pernah alami ketidak warasan itu.

“Jadi saya tidak mahu orang ramai jadi tidak waras, sepatutnya saya boleh jadi pelajar terbaik tetapi sebab terlalu sibuk hendak berpolitik 'ntah apa-apa ntah' ini saya telah buang banyak masa," katanya.

Menurut Nurulhidayah, ayahnya tidak mengetahui bahawa beliau melakukan semua itu dan menambah bahawa dirinya kini semakin cerdik selepas belajar daripada pengalaman lalu.

Lihat Komen
ADS