Seorang remaja pecah tempurung kepala kerana dipercayai dibelasah oleh warden Penjara Sungai Buloh dan terpaksa dibedah di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras malam tadi.

Rastam Talib, pesalah juvana, dibedah kira-kira jam 11 malam tadi kerana mengalami kecederaan teruk di dalam otak, kata bapa saudaranya Rosli Abdul Rahim ketika dihubungi hari ini

Beliau berkata, keadaannya amat kritikal dan doktor meramalkan peluang untuk hidup adalah tipis. Selain itu, Rastam juga lebam di bahagian mata..

"Keadaannya amat kritikal walaupun doktor telah melakukan pembedahan otak malam tadi. Doktor mengatakan Rastam mengalami pendarahan otak yang teruk akibat tempurung kepalanya pecah," katanya.

Rastam dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh Disember lalu atas kesalahan ganja dan akan dibicarakan di Mahkamah Majistret Kajang pada 28 Februari ini.

Tindakan udang-undang

Rosli berkata, beliau mendapat tahu Rastam dibelasah oleh warden penjara apabila diberitahu oleh pegawai yang datang ke rumah ibu Rastam di Taman Keramat untuk mendapatkan tandatangan bagi menjalani pembedahan tersebut.

"Sebelum itu saya ada melawat mangsa di Penjara Sungai Buloh tetapi diberitahu oleh pegawai bertugas bahawa Rastam sedang mendapatkan rawatan di klinik penjara.

"Pegawai penjara memberitahu Rastam dipukul oleh banduan tetapi saya tidak percaya. Saya menganggap mereka cuma menyelamatkan diri," katanya.

Berikutan itu, Rosli berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa Penjara Sungai Buloh dan kini dalam proses melantik peguam.

"Kami juga akan melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk siasatan lanjut. Kami sekeluarga mahukan keadilan dalam kes ini," katanya lagi.