Pendekatan Rela bimbangkan pengusaha restoran

Muda Mohd Noor        

Pengusaha restoran India Muslim dakwa pasukan sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) tidak layak buat operasi tahan pekerja asing.

Operasi menahan pekerja asing yang dibuat oleh Rela mencetuskan kebimbangan di kalangan pengusaha restoran India Muslim kerana mendakwa mereka tidak berpengalaman dalam tugasan tersebut.

Rela diberi kuasa untuk memeriksa kawasan kediaman dan premis bagi memeriksa pendatang haram dan menasihatkan mereka supaya pulang ke negara masing-masing dalam tempoh seminggu sebelum tindakan lanjut diambil.

"Rela tidak layak mengetuai operasi menahan pendatang haram kerana mereka tidak mempunyai kemahiran dan pengalaman. Anggota Rela bukannya sepenuh masa dan mereka tidak mendapat latihan yang cukup.

"Kita khuatir anggota Rela tidak tahu pendekatan yang sesuai digunakan dalam operasi tersebut. Sebelum ini Rela hanya membantu pasukan Imigresen menjalankan operasi memberkas pendatang haram," kata Presiden Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia, Jemarulkhan Kader.

Di antara prosedur yang mengelirukan anggota Rela semasa operasi menahan pekerja asing ialah sama ada seseorang pekerja boleh bekerja di tempat yang berbeza daripada yang ditulis dalam permit kerja.

Beliau berkata, dalam operasi memberkas pendatang haram yang dilakukan oleh pihak berkuasa sebelum ini, anggota Rela sering menimbulkan masalah kerana mereka tidak faham prosedur yang perlu diikuti.

Bagaimanapun, setakat ini beliau belum menerima sebarang aduan daripada pengusaha restoran tentang operasi yang dibuat oleh Rela.

Sentiasa dipantau

Seorang jurucakap Rela ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mendapat latihan asas yang cukup untuk menjalankan operasi penahanan pekerja asing.

Katanya, setiap operasi akan diketuai oleh pegawai Jabatan Imigresen untuk memantau perjalanan operasi bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan dan salahguna kuasa.

Berikutan, itu Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Aseh Che Mat di Putrajaya baru-baru ini.

Dalam pertemuan tersebut, mereka menyuarakan kebimbangan bahawa anggota Rela mungkin menyalahgunakan kuasa mereka semasa mengetuai operasi menangkap pekerja asing.

Bagaimanapun, kata Jemarulkhan, Aseh memberi jaminan bahawa beliau akan memberi perhatian terhadap perkara tersebut supaya ia tidak menyusahkan pekerja asing.

Menurutnya, pihaknya tidak menentang operasi menangkap pekerja asing di restoran India Muslim tetapi harus memastikan hanya yang tidak mempunyai permit sah ditangkap.

Ada kira-kira 70,000 pekerja asing yang bekerja di restoran India Muslim di seluruh negara dengan sebahagian besar dari India.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In