Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan melancarkan aplikasi telefon pintar terbaharu iaitu SaveME 999 POLIS untuk memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) dan PDRM itu membolehkan orang ramai menghantar permohonan bantuan kecemasan melalui saluran tanpa suara.
"Aplikasi ini akan dilancarkan untuk orang ramai dalam masa terdekat. Aplikasi berupa 'butang cemas' membolehkan orang ramai yang menggunakannya ketika dalam kecemasan jenayah atau bantuan kecemasan PDRM," katanya di majlis Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Kecemasan (MERS 999) di Putrajaya malam tadi.
Aplikasi SaveMe 999 POLIS membolehkan pengguna menekan ikon "SaveME 999" pada skrin telefon pintar untuk mendapatkan bantuan kecemasan. Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) di dalam telefon pintar akan menentukan kedudukan pengguna.
Apabila permohonan kecemasan dibuat, alamat GPS dan maklumat pengguna akan dihantar ke Pusat Panggilan Kecemasan 999. Maklumat tambahan berkenaan insiden dan lokasi kejadian juga boleh ditambah ke dalam permohonan yang dihantar.
"Semua maklumat ini akan dapat membantu pihak PDRM bagi menghantar bantuan dengan lebih cepat dan tepat," katanya.
KKMM dengan kerjasama TM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga membangunkan aplikasi SaveME 999 Deaf untuk membantu golongan kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan SaveME 999 Blind untuk golongan cacat penglihatan mendapatkan bantuan Pusat Panggilan Kecemasan 999, katanya.
Salleh berkata KKMM akan melaksanakan Kajian Komprehensif MERS 999 yang melibatkan aspek-aspek kewangan, operasi, proses kerja, pembangunan modal insan dan struktur perkhidmatan kecemasan.
"Kajian secara hujung ke hujung ini penting bagi memastikan kelangsungan sistem MERS 999 dan juga supaya perkhidmatan kecemasan di negara kita adalah setanding dengan perkhidmatan kecemasan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat melalui talian kecemasannya, 911.
Saya memohon agar semua pihak yang terlibat memberi kerjasama sepenuhnya kepada kajian ini. Saya juga berharap supaya setiap kementerian dan agensi kecemasan yang terlibat membantu untuk mempertingkatkan promosi dan kempen kesedaran mengenai panggilan kecemasan satu nombor, 999 demi manfaat seluruh rakyat di negara kita," katanya.
Salleh berkata berdasarkan rekod sistem MERS 999, purata panggilan kecemasan 999 yang tulen adalah antara 40,000 hingga 50,000 panggilan sebulan.
Setiap panggilan dan insiden kecemasan yang berlaku akan direkodkan dalam Sistem MERS 999 dan dijadikan kajian oleh agensi kecemasan yang terlibat, katanya.
"Data insiden yang berupa statistik kecemasan di lokasi tertentu atau trend kejadian kecemasan serta waktu berlakunya kecemasan boleh digunakan oleh setiap agensi kecemasan untuk merancang dengan teliti dan merangka kaedah baharu agar pembaharuan yang konstruktif dapat dilaksanakan bagi menambah baik perkhidmatan 999 secara keseluruhan," katanya.
Sambil memberi contoh, Salleh berkata di Amerika Syarikat, kajian terhadap data-data panggilan kecemasan akan dilaksanakan bagi mempercepatkan respons terhadap panggilan kecemasan dan persediaan awal menghadapi kecemasan serta menambah baik prosedur sedia ada.
"Saya juga berharap agar kesemua data penting ini dapat dikumpulkan dan disimpan oleh satu badan yang bertanggungjawab di negara ini dan disalurkan ke mana-mana agensi kerajaan yang memerlukan," katanya.
Di majlis itu, lima agensi kecemasan yang terlibat dalam Projek MERS 999 menerima Anugerah Menteri kerana sokongan berterusan dalam perancangan, pelaksanaan dan penggunaan sistem MERS 999.
Agensi-agensi itu adalah Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
- Bernama
