BERITA Malaysiakini

ABC dakwa ada maklumat baru dana di akaun Najib

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Program Four Corners terbitan Australian Broadcasting Corporation ( ABC ) akan menyiarkan episod terbaru malam ini dengan memberi tumpuan kepada skandal kewangan yang didakwa ada kaitan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

ABC dalam satu laporan berkata siasatan Four Corners akan menyiarkan maklumat baru mengenai dana yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Antara lain, ia berkata, Four Corners telah menyaksikan rekod bank yang menunjukkan deposit yang dibuat antara 2011 dan 2014 daripada "individu dan syarikat misteri" di Malaysia dan di luar negara melalui pemindahan wayar dan secara tunai.

Menurut rekod bank itu, pada pertengahan tahun 2013, bank tersebut membuka tiga akaun baru atas nama Najib dan juga terdapat ikrar janji wang tetap daripada seorang putera Saudi, termasuk janji sebanyak 50 juta pound Britain selewat-lewatnya pada Jun 2014.

Ini, dakwanya adalah di sebalik derma AS$681 juta (RM2.6 bilion) derma dari seorang penderma Timur Tengah yang tidak dinamakan tetapi menurut Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, Najib telah memulangkan sebanyak AS$620 juta.

Apandi mengumumkan bahawa tiada dakwaan akan diambil terhadap Najib dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup tiga kertas siasatan berasingan yang berkaitan dengan dakwaan berkenaan.

ABC , bagaimanapun, melaporkan bahawa Four Corners mengesahkan bahawa bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail merancang mengenakan tuduhan penyelewengan jenayah terhadap Najib sebelum beliau dipecat daripada jawatannya tahun lalu.

Pasukan Four Corners - wartawan Linton Besser dan juruvideo Louie Eroglu - telah dihalau keluar dari Malaysia selepas cuba menyoal Najib pada sebuah majlis awam di Kuching, Sarawak awal bulan ini.

Babak kejadian itu juga akan dipaparkan dalam episod terkini Four Corners itu dengan tajuk State of Fear .

Menurut laporan ABC , episod itu juga akan menampilkan temu bual dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan pengasas Sarawak Report , Clare Rewcastle-Brown.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Gani untuk mendapatkan reaksinya.