Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi dedah dokumen OSA kaitkan LTAT dengan 1MDB

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli hari ini bertindak nekad dengan mendedahkan dokumen yang menurutnya tertakluk bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi membuktikan kaitan 1MDB dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Dakwanya, kaitan itu mungkin menjejaskan keupayaan LTAT untuk membayar pampasan atau gratuiti kepada veteran tentera yang telah bersara.

Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan bertindak demikian, walaupun sedar risiko undang-undang akibat mendedahkan dokumen rahsia kerajaan, termasuk hukuman penjara mandatori sehingga maksimum tujuh tahun.

Namun, pada sidang media di lobi parlimen hari ini, katanya ia terpaksa dibuat kerana LTAT tidak berterus terang menjawab dakwaannya.

Malaysiakini tidak memiliki dokumen itu dan tidak dapat melaporkan penjelasan lanjut Rafizi pada sidang media hari ini kerana kekangan undang-undang.

Rafizi sebelum ini membangkitkan isu pesara tentera yang didakwa masih belum dibayar caruman mereka sejak tahun 2014.

Menurutnya, beliau menerima aduan daripada pesara tentera yang memaklumkan bahawa mereka masih belum menerima bayaran pampasan itu walapun selepas enam bulan bersara.

Beliau percaya sehingga 12,000 bekas kakitangan tentera turut terjejas dan menuntut Ketua Eksekutif LTAT Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin meletakkan jawatan daripada lembaga itu kerana didakwa mempunyai konflik kepentingan.

Lodin juga memegang jawatan sebagai pengerusi 1MDB.

'Selamat berjaya, wartawan'

Sementara itu, Rafizi berkata kepada pemberita bahawa beliau sudah beberapa kali membuat pendedahan berkaitan tetapi tidak berhadapan dengan tindakan.

“Selamat berjaya buat kamu (wartawan) semua, mereka (pihak berkuasa) tidak akan dapat tahan kita.

“Saya tak pasti bagaimana anda semua nak tulis mengenai perkara ini, saya sudah banyak kali buat (dedahkan) perkara (seperti) ini. Kita lihat bagaimana,” katanya.

Beliau berkata dirinya hanya menunggu maklum balas 1MDB susulan langkahnya hari ini.

“Saya tunggu kenyataan dari 1MDB dan maklum balas dari mereka,” katanya.

Lihat Komen
ADS