MTUC: Sistem ambil pekerja asing terdedah pada penyelewangan

Muda Mohd Noor        

Kemasukan besar-besaran pekerja asing ke dalam pasaran buruh negara ini ada kaitan dengan pihak tertentu yang mengaut keuntungan daripada mereka, terutama yang datang secara haram.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) percaya kemasukan mereka didalangi sindiket yang mengambil kesempatan daripada permintaan besar-besaran majikan tempatan terhadap tenaga kerja luar.

"Jika proses kemasukan berjalan mengikut saluran yang betul, tidak mungkin berlaku begitu banyak skandal dan penyelewengan kepada pekerja asing," kata presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan menyiasat dakwaan tersebut dan tindakan tegas perlu diambil untuk memberhentikannya.

"Dakwaan ini ada kaitan dengan langkah kerajaan memberi kebenaran kepada agensi untuk membawa masuk pekerja asing ke negara ini yang menyebabkan menimbulkan pelbagai masalah kepada negara.

"Ada dalang atau pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan daripada pekerja asing yang mahu bekerja di ladang, perkilangan, perkhidmatan dan pembinaan di Malaysia," katanya.

Penyelewangan

Sistem pengambilan pekerja asing yang dibuat oleh agensi swasta terdedah kepada pelbagai penyelewengan termasuk pemalsuan data dan juga kepada penindasan kepada pekerja terbabit.

Syed Shahir berkata, keadaan ini menyebabkan ramai pekerja asing menjadi mangsa seperti majikan tidak membayar gaji atau membayar gaji tidak seperti yang dibuat dalam perjanjian bersama di antara kedua-dua pihak.

"Apabila keadaan ini berlaku, kerajaan menyalahkan pekerja asing tersebut sedangkan kerajaan sendiri tidak memberi perlindungan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata, majikan mengambil kesempatan dengan mengutamakan pengambilan pekerja asing kerana mereka boleh membayar gaji yang rendah melalui kontrak yang dibuat dari masa ke semasa.

Menurutnya, keadaan ini menyebabkan mereka lebih mudah untuk mengeksplotasikan pekerja asing berbanding pekerja tempatan.

Apabila keadaan ini berlaku, katanya, pekerja tempatan sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana majikan lebih suka memilih untuk mengambil pekerja luar kerana gaji yang rendah selain syarat pengambilan yang longgar.

Membayar gaji

Sementara itu, MTUC menyokong tindakan pekerja asing menyaman majikan yang tidak membayar gaji mereka.

Bagaimanapun, Syed Shahir berkata, ia mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk diselesaikan di Mahkamah Perindustrian dan ini menimbulkan masalah kepada pekerja asing dari segi visa.

"Jabatan Imigresen hanya memberi visa khas selama tiga bulan yang diperbahrui setiap bulan dengan bayaran RM100 sebulan. MTUC telah berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen mengenai hal ini tetapi gagal," katanya.

Menurutnya, ramai pekerja yang ditahan, kemudian didakwa di mahkamah kerana masuk secara haram yang akhirnya dihukum dan dirotan.

Beliau berkata, pihak berkuasa terutama Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri menafikan hak pekerja selain tidak menghormati proses perbicaraan di mahkamah.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In