Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) dan Persatuan Pegawai-pegawai Kanan KTMB (SOA) membantah rancanga Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang ingin mengambil alih semua jentera keretapi di negara ini.
Setiausaha Agung RUM Subramaniam M Ramakrishnan berkata, Jentera jenis Six Car Set (SCS), Electric Tren Set (ETS) dan Operator Management Centralized (OMC) ini sebelum ini diuruskan oleh pihak KTMB.
Katanya, sekiranya RAC mengambil alih kesemua jentera tersebut ia hanya akan merugikan KTMB.
“Hasrat ini akan mengecilkan KTMB yang hanya menjalankan kerja-kerja operasi sahaja, malah KTMB akan menyewa kembali jentera dan infrastruktur yang dimiliki oleh KTMB sebelum ini kepada RAC.
“RAC hanya untung atas angin,” tegasnya kepada pemberita dalam sidang media di Hotel Dynasty Kuala Lumpur.
Katanya lagi, kesan kepada cadangan tersebut akan memberikan implikasi yang sangat teruk kepada KTMB malah, pembuangan pekerja boleh berlaku.
“Boleh berlaku pembuangan kerja kepada pekerja-pekerja KTMB malah pihak kesatuan berkeyakinan bahawa Keretapi Tanah Melayu Berhad hanya tinggal nama,” katanya.
Subramaniam ketika ditanya bilakah pengambilalihan itu akan berlaku tidak dapat mengulas lanjut sebaliknya katanya, ia merupakan berita yang tersebar di KTMB.
Justeru, pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada minggu hadapan untuk memohon usaha RAC yang ingin mengambil alih jentera itu dihentikan.
Selain itu, pihaknya mahu mencadangkan supaya kesemua jentera itu dikembalikan semula kepada KTMB.
“Pihak kesatuan mengambil ketetapan bahawa pentadbiran aset keretapi hendaklah diletakkan di bawah pentadbiran KTMB.
“RUM dan SOA akan menentang dengan apa cara sekalipun demi mempertahankan Keretapi Tanah Melayu Berhad,” katanya.
