Selangor sangat bimbang dengan kekerapan gangguan elektrik

   

Kerajaan Negeri Selangor sangat bimbang dengan kejadian gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku di negeri itu, sejak kebelakangan ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri itu telah meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah itu.

"Gangguan bekalan elektrik kini agak kerap. Saya sudah berjumpa Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Che Khalib Mohd Noh dan beliau beri jaminan untuk mengatasi segera masalah itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco hari ini.

Menurutnya, Che Khalib telah memaklumkan kepadanya mengenai persetujuan TNB untuk membeli sejenis bateri besar yang dapat menampung bekalan elektrik bagi kegunaan industri bagi tempoh tertentu sekiranya berlaku gangguan bekalan.

Bernama memetik Dr Mohd Khir berkata demikian selepas ditanya mengenai kejadian bekalan elektrik yang kerap terganggu di Selangor sejak kebelakangan ini dan kerugian yang dihadapi oleh sektor industri.

Mengenai tuntutan gantirugi berjumlah RM40 juta yang dikemukakan oleh 126 kilang di Selangor ekoran gangguan bekalan elektrik pada 13 Januari lalu akibat kerosakan Stesen Janakuasa Kapar, beliau berkata, Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) telah diarah berbincang dengan TNB bagi mencari jalan penyelesaian.

Pendapatan lumayan

Dr Mohd Khir juga berkata kerajaan negeri tidak menggalakkan pembinaan hotel di kawasan kampung yang ditetapkan sebagai pusat pelancongan berbentuk 'homestay' kerana ia tidak memberi pulangan dan kesan ekonomi langsung kepada masyarakat tempatan.

Menurutnya, penduduk tempatan boleh memperolehi pendapatan lumayan dengan menyewa bilik di rumah mereka mengikut konsep 'homestay' pada kadar RM200 hingga RM250 sehari.

Pada masa yang sama, katanya, kerajaan akan terus memberi galakan kepada masyarakat menyertai program "homestay" yang dikendalikan oleh Tourism Selangor walaupun mereka menghadapi sedikit masalah berkomunikasi dengan pelancong.

"Kita akan meneruskan kursus asas Bahasa Inggeris untuk mereka berkomunikasi dengan baik. Selain itu kita turut mensasarkan lebih 1,000 rumah dari kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India menyertai program ini pada penghujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata program itu membabitkan rumah kampung masyarakat Cina di bagan-bagan di tepi pantai yang kebanyakan penghuninya bekerja sebagai nelayan, masyarakat India di estet-estet dan kampung tradisional Melayu.

Setakat ini terdapat kira-kira 200 rumah yang terbabit dalam program homestay di seluruh Selangor termasuk di Banghuris, Kuala Langat dan Sungai Haji Dorani di Sabak Bernam.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In