ULASAN l Bungkam seketika. Terbit perasaan geram. Sambil mengetap bibir, saya hanya mampu menggeleng kepala.
Apa sudah jadi dengan bangsa Melayu? Minggu lalu, aksi lontaran caci-maki, tak kurang juga dengan sepenumbuk dua antara dua keluarga bakal mempelai di sebuah masjid disajikan kepada orang ramai - hanya kerana perihal wang hantaran semata-mata.
Kali ini, para wanita yang saya kira kebanyakannya mungkin ibu-ibu, berasakkan sesama sendiri, berteriak melolong, hanya untuk membeli sehelai, atau mungkin dua helai tudung yang saya tidak tahu kehebatannya bagaimana sehingga peminat sanggup berkelakuan sebegitu.
Mungkin di bawah tudung itu ada penghawa dingin, mungkin. Maka sesuailah dengan cuaca yg panas terik sekarang ini. Lantas, si pemakai akan rasa nyaman, dingin sentiasa.
Sememangnya ini bukan isu baru, tapi saya rasa terpanggil untuk meluahkan apa yang terbuku di hati daripada saya hanya mengomel sendirian.
Tudung yang seharusnya merupakan lambang kesederhanaan seseorang wanita kini jadi pencetus hilangnya kewarasan akal, para ibu ini sanggup berasak-asak dengan lelaki ajnabi.
Yang si pemilik kedai pula boleh tersenyum keriangan menyaksikan jatuhnya martabat seorang demi seorang di situ. Sudahlah begitu, aksi mereka kemudian diviralkan.
Untuk para wanita dan juga lelaki yang di situ, kalau mahu berkelakuan begitu, lebih baik pergi ke konsert, sekurang-kurangnya walaupun penat, anda akan dihiburkan oleh penyanyi kesukaan anda.
Walau geram, kadang-kadang terasa lucu melihat gelagat mereka ini.
Kebanyakan orang Melayu suka melabel perkara itu ini tidak Islamik, tapi Islamik kah kelakuan memalukan sebegitu?
Di sini saya tidak hanya menyalahkan gelagat para pembeli tudung, tetapi pemilik sekali. Sudah tahu yang tudung anda itu laku, sepatutnya anda sudah menjangkakan yang kejadian sebegitu akan berlaku lebih-lebih lagi ini bukan kali pertama insiden yang sama telah terjadi.
Senyuman dan gelengan penuh suka itu boleh ditafsirkan bahawa anda sememangnya suka dengan situasi yang boleh hilang kawalan itu. Barangkali sebuah taktik pemasaran, mungkin.
Pembeli yang sepatutnya dilayan seperti raja tak ubah macam binatang yang disuruh masuk ke kandang lagaknya.
Adab dan santun yang seharusnya disanjung oleh mereka yang mengaku diri itu Melayu dicampak ketepi begitu sahaja. Kamu kata kamu sembahyang tak tinggal, tapi inikah perangai manusia yang jumpa Tuhan lima kali sehari?
Sesungguhnya tidak salah untuk seseorang itu menyukai sesuatu benda, tapi tidaklah perlu sampai ke tahap seperti itu.
Saya tidak mahu cakap habis, tapi saya takkan sanggup menunggu dan bergaduh hanya untuk menjadi yang empunya sesebuah objek.
Tapi kadang-kadang saya menggaru kepala juga. Rata-rata kaum Melayu katanya terbeban dengan keadaan ekonomi sekarang, di mana kemampuan membeli sudah jauh berkurangan.
Tetapi untuk membeli sehelai tudung yang harganya ratusan ringgit dilihat tidak menjadi masalah. Mungkin Malaysia ini sebenarnya terdiri daripada mereka yang kaya belaka, mungkin.
Maka jangan marah kalau barang sini sana naik harganya, kerana kamu mampu membeli tudung harga ratusan ringgit, bukan?
Bangkitlah dari tidur wahai kaum Melayu. Sesungguhnya banyak lagi perkara yang harus dirisaukan dan banyak lagi cara wang kamu boleh dibelanjakan dengan berhemat.
Saya tidak perlu nyatakan di sini kerana saya pasti anda semua tahu apa sebenarnya yang harus dijadikan keutamaan.
Penulis adalah anggota sidang ridaksi Malaysiakini
