Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura mempunyai kapasiti yang mencukupi dan tidak akan digantikan, Channel NewsAsia melaporkan hari ini.
Laporan itu yang memetik Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata kedua-dua kerajaan telah menjalankan kajian bersama dan membuat unjuran masing-masing untuk mencapai kesimpulan.
"Tambak itu sebenarnya mempunyai kapasiti yang mencukupi. Menggantikan Tambak bukan penyelesaian," kata beliau semasa perbahasan Jawatankuasa Bekalan yang memasuki hari kedua.
Sebaliknya, kata menterki itu, kedua-dua negara sedang berusaha untuk menangani kesesakan di sempadan.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini mencadangkan supaya Tambak Johor digantikan dengan jambatan baharu bagi menangani kesesakan di Johor Bahru.
Tambak Johor sepanjang 1.05 kilometer yang menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura dibina pada 1923.
Kira-kira 430,000 pengguna menggunakan pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas setiap hari semasa musim perayaan.
Dr Balakrishnan juga berkata kedua-dua kerajaan sedang berusaha untuk menambahbaik kesalinghubungan antara kedua-dua negara.
Justeru, kemajuan telah dicapai bagi merealisasikan Sistem Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Sistem Transit Rapip Johor Bahru-Singapura, kata beliau.
- Bernama
