Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong daripada DAP, Leow Thye Yih digantung selama sebulan daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkuat kuasa 1 April.

Speaker DUN Perak, Datuk Seri S.K Devamany berkata penggantungan Leow diputuskan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak kerana tindakan wakil rakyat itu membuat tuduhan berniat jahat ke atas ADUN lain semasa persidangan lepas.

Beliau berkata penggantungan selama sebulan mengikut Perintah Tetap 36(3)(a) dan 36(3)(b) itu adalah yang paling lama dalam sejarah DUN Perak.

"Jawatankuasa mula bersidang sejak Disember lalu dan telah putuskan untuk menggantung ADUN Aulong selama tiga bulan, tapi setelah buat pertimbangan maka diputuskan hanya gantung sebulan.

"Berikutan penggantungan itu, ADUN Aulong tidak dibenar menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan negeri selain tidak akan menerima bayaran gaji dan elaun-elaun berkaitan," katanya dalam sidang media menjelang Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat DUN Perak ke-13 di Ipoh semalam.

Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat DUN Perak Ke-13 akan diadakan pada 12 hingga 18 April depan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini dengan istiadat pembukaan akan disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Tindakan ke atas Leow itu berkaitan tuduhannya yang mendakwa Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir mengambil komisen daripada pemaju bagi projek hartanah di Taiping.

Bagaimanapun, Devamany berkata walaupun Leow digantung dan tidak akan menerima bayaran elaun, namun bayaran ke atas pusat khidmat wakil rakyat itu tetap diteruskan.

- Bernama