Most Read
Most Commented
Read more like this

MCA hari ini sekali lagi digesa membatalkan tindakan mengambil alih Nanyang Siang Pau dan China Press jika parti itu mahu mengekalkan sokongan masyarakat Cina.

Bendahari Wanita Gerakan, Yong Dai Ying, berkata dakwaan Presiden MCA Datuk Seri Ling Liong Sik bahawa parti itu sedia mendengar suara ramai harus dibuktikan dengan membatalkan pegangannya dalam kumpulan akhbar itu.

MCA mengambil alih secara rasmi akhbar berpengaruh itu mulai 1 Jun lalu melalui syarikat pelaburannya, Huaren Holdings, dengan harga RM230 juta.

"Ling hanya merosakkan lagi kewibawaannya yang sedia merosot di mata masyarakat dan ahli MCA," kata Yong lagi, sambil menambah bantahan keras itu seharusnya diberikan perhatian serius.

Isu itu yang berlarutan sejak tiga minggu lalu mendapat reaksi berbelah bahagi daripada pelbagai kumpulan masyarakat Cina, termasuk MCA di beberapa negeri.

Semalam, MCA Selangor membantah pembelian Kumpulan Nanyang oleh parti itu, sementara Sabah dan Kedah menyokongnya. Persatuan-persatuan utama Cina dan kumpulan perniagaan masyarakat itu turut menyatakan kebimbangan akhbar itu akan hilang kebebasan apabila dikuasai sebuah parti politik.

"Jika terdapat bantahan kuat terhadap sesuatu tindakan, lebih wajar ia dipertimbangkan semula," kata Yong dalam satu kenyataan kepada malaysiakini .

"Tidak pernah lagi berlaku keputusan MCA mendapat reaksi yang sebegitu meluas (seperti sekarang)."

Yong menyokong kenyataan Naib Presiden MCA Datuk Chan Kong Choy semalam di Shah Alam yang menggesa Ling mengambil kira bantahan pelbagai pihak.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS