Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis ini bagi membincangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, mesyuarat itu bagi menetapkan tarikh hari penamaan calon, hari pengundian awal dan hari pengundian.
“Ia juga bagi membincangkan daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohammad Nasfia Awang Nassar dilaporkan telah menghantar surat kepada SPR untuk memaklumkan tarikh pembubaran DUN pada hari ini.
Bagi pilihan raya kali ini, sejumlah 82 kerusi dipertandingkan, termasuk 11 kerusi baru iaitu Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.
Setakat ini, hanya PAS yang telah menengeluarkan senarai penuh calon di 11 kerusi DUN yang akan ditandinginya; iaitu Muara Tuang, Beting Maro, Lambir, Sadong Jaya, Pantai Damai, Pujut, Samariang, Sebuyau, Jepak dan Samalaju.
Parti terbesar BN Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Ketua Menteri popular, Tan Sri Adenan Satem pula telah menetapkan lebih 30 calon, daripada jangkaan 41 kerusi yang akan ditandinginya.
Selain pertembungan antara parti pemerintah dan pembangkang pada hari mengundi nanti, PRN kali ini turut menyaksikan perebutan kerusi antara parti komponen BN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Pogresif Sarawak (SPDP) dengan parti serpihan mereka, Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).
Setakat ini, Adenan juga telah mengumumkan tiga calon terus BN, iaitu Rosey Yunus (Bekenu), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong) dan Dr Johnical Rayong (Engkelili).
Ketiga-tiganya dari UPP dan penyandang di DUN tersebut.
