Mahkamah Sesyen di Kuala Pilah hari ini menangguhkan kes seorang wanita tempatan yang didakwa memotong kemaluan suaminya ke 25 April depan.
Hakim Nariman Badruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nik Azlan Nik Mahmood yang memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah menerima dokumen perubatan tetapi memerlukan masa untuk melengkapkan beberapa dokumen berkaitan kes itu.
Peguam J Gunamalar yang mewakili tertuduh Fatimah Abdullah meminta mahkamah mempercepatkan proses mendapatkan dokumen berkaitan kerana kes telah mengambil masa selama dua bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 April untuk sebutan semula kes itu.
Fatimah, 51, didakwa mencederakan suaminya seorang peniaga warga Pakistan berumur 44 tahun dengan memotong kemaluannya di kediaman pasangan itu di Jalan Beringin 3, Batu Kikir, Jempol pada 1.20 pagi, 20 Jan lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pada 28 Jan lalu, Fatimah mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, bagaimanapun pada 22 Feb lepas, dia menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
- Bernama
