BERITA Malaysiakini

Pemimpin DAP pula label Zakir Naik sebagai ‘setan’

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kehadiran pendakwah Islam kontroversi, Dr Zakir Naik terus mendapat kecaman pelbagai pihak dan terbaru, Timbalan Setiausaha Agung DAP, P Ramasamy menggelarnya sebagai ‘setan’.

Menerusi kenyataannya di Facebook, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang menulis ‘Let us get “Satan” Zakir Naik out of this country!’.

Bagaimanapun, selang beberapa jam kemudian, Ramasamy menyunting status itu dengan memadam perkataan ‘satan’.

Dalam kenyataan sama, Ramasamy mendakwa Zakir hanya mahu menyebarkan kebencian di kalangan bukan Islam di negara ini.

“Beliau (Zakir) adalah pendakwah Islam dan tidak mempunyai apa-apa tetapi kebencian dan penghinaan terhadap orang bukan Islam.

“Dia (Zakir) telah diharamkan di Kanada dan UK untuk kuliahnya. Malah, beberapa umat Islam di India telah menggelarnya sebagai pendusta, seorang yang separuh benar dan penyampai kebencian,” tulis Ramasamy

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia, khususunya pertubuhan India dan agama Hindu supaya membuat laporan polis terhadap Zakir.

Ramasamy ( bawah, kanan ) dipercayai mengeluarkan kenyataan sedemikian selepas bantahan sama dikeluarkan oleh Hindraf dan MIC.

Program pertama Zakir yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu mendapat sambutan hangat dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung.

Beliau berada di Terengganu selama lima hari dan akan menyampaikan ceramah di pelbagai tempat termasuk di beberapa universiti berhubung perpaduan dan kekuatan Islam.

Kehadirannya di Terengganu bagi memenuhi undangan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Undang kemarahan umat Islam

Bagaimanapun status Ramasamy itu mengundang kemarahan warga maya yang beragama Islam dan mereka bertindak mengecamnya.

Pemilik akaun Zack Rahim berkata Ramasamy adalah individu yang bertanggungjawab menghalang Zakir dari menyampaikan dakwahnya di dalam negara ini sehingga memaksa polis menghalangnya daripada berdakwah.

“Antara orang (Ramasamy) yang bertanggungjawab berjaya membuatkan pihak berkuasa batalkan program intelektual Dr Zakir Naik. Malah digelarnya ‘satan’ ke atas seorang yang mempunyai al-quran di dalam otak dan akalnya, juga punya segala kitab lain.

“DAP, PKR, AMANAH serta kerajaan Pulau Pinang dan seluruh Pakatan Harapan bertanggungjawab dengan kenyataan ini sebab Dr Ramasamy bukan pemilik kedai nasi kandar atau kedai emas Jalan Bonus. Beliau timbalan ketua menteri Pulau Pinang,” katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook dengan nama Muhammad Sufian menyarankan Ramasamy menyertai program Zakir.

“Ramasamy patut sertai forum Dr Zakir Naik. Bukan halau keluar Dr Zakir Naik dari Negara ni, ini Negara Islam,” katanya.

Malah, ada juga yang meminta Ramasamy membuang gelaran professor beliau.

“Pergi buang nama professor. Tak layak, cakap macam orang tak ada pendidikan,” kata Nik Haqeem pula.