Presiden Hindu Sangam Malaysia, Mohan Shan mempersoalkan sama ada parti berasaskan kaum India yang memerintah - MIC bersetuju dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berkompromi mengenai isu ulama kontroversi Dr Zakir Naik.
"Timbalan Perdana Menteri berkata bahawa kerajaan memberi lampu hijau untuk Zakir bersyarah di UTeM (Universiti Teknikal Malaysia Melaka) di Melaka.
"Bagaimana kerajaan membuat keputusan mengenai perkara ini, apabila parti komponen mereka sendiri - MIC yang adalah sebahagian daripada kerajaan bersama-sama dengan Hindu Sangam dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan India menentang sekeras-kerasnya syarahan Zakir ini?" soal Mohan dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk desakan MIC Isnin lalu yang menuntut Zakir diharamkan daripada memasuki negara ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga mengarahkan syarahan kuliah Zakir di Melaka dan Kuala Lumpur dibatalkan atas alasan ia berpotensi menimbulkan kekacauan awam dan untuk melindungi sensitiviti agama di negara ini.
Khalid kemudian membenarkan syarahan di Kuala Lumpur yang bertajuk "Is the Quran God's Word" dengan beberapa syarat tertentu tetapi berkata beliau tidak akan menimbang semula keputusan untuk mengharamkan acara di Melaka yang bertajuk "Persamaan antara Islam dan Hindu".
Walaupun begitu, Zahid yang juga adalah menteri dalam negeri berkata, kuliah Zakir di Melaka akan dibenarkan tetapi tajuk syarahan perlu ditukar.
Mengulas lanjut, Mohan berkata Hindu Sangam kecewa dengan ‘penghinaan” kerajaan berhubung permintaan mereka untuk membatalkan kuliah Zakir, walaupun jaminan lebih awal diberikan oleh Ketua Polis Negara.
Menurutnya, kerajaan langsung tidak mempedulikan sensitiviti masyarakat beragama Hindu.
"(Ini) di sebalik (kerajaan) mengetahui bahawa masyarakat Hindu di Malaysia berang dengan ceramah umum provokatif Zakir dan tindakan penganjur memberi tiket VIP kepada mereka yang membawa orang bukan Islam untuk ke acara tersebut," katanya.
