Jabatan Perumahan Negara hari ini menjelaskan, skim pembiayaan deposit rumah pertama (MyDeposit) merupakan insentif kerajaan kepada rakyat yang tidak mampu untuk membuat bayaran deposit ketika membeli rumah.
Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Yusoff Ghazali berkata, ia juga merupakan insentif dan bantuan kerajaan kepada rakyat Malaysia daripada kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40).
"Ia insentif, tak perlu bayar balik. MyDeposit ialah bantuan kerajaan kepada yang berpendapatan RM3,000 hingga RM10,000," katanya dalam majlis taklimat bersama media di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung kekeliruan orang ramai tentang skim MyDeposit.
Selain itu, Mohamad Yusoff turut menjelaskan, deposit sebanyak 10 peratus akan diberi kepada pembelian rumah berharga RM300,000 hingga RM500,000.
Bagaimanapun, ia hanya diberikan kepada pembelian rumah projek perumahan baru yang berlesen dan projek perumahan sub-jualan sahaja.
Skim ini juga tidak akan diberikan kepada pihak yang membuat pembelian rumah Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA) atau Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip), katanya.
"Rumawip, PR1MA tak termasuk untuk dapat MyDeposit kerana kerajaan telah memberi bantuan bagi projek tersebut," katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan, bagi kumpulan B40 mereka tidak layak untuk membuat permohonan MyDeposit kerana pihak kerajaan telah menyediakan insentif lain seperti projek perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi golongan tersebut.
Untuk membuat permohonan boleh layari http://ehome.kpkt.gov.my.
