Aktivis sosial dan pengamal media memperingati ikon kewartawanan negara Said Zahari yang telah meninggal dunia akan perjuangannya dalam mempertahankan kebebasan media dan menentang penjajahan British.
Antara mereka, aktivis muda Adam Adli berkata Said Zahari mengajarnya untuk tetap berjuang walaupun kehilangan kebebasan selama 17 tahun.
Katanya, perjuangan dan pengorbanan aktivis muda yang ada pada hari ini sebenarnya "sedikit" jika dibandingkan dengan Said Zahari
"Perjuangannya adalah tanda-tanda kecekalannya. Kita boleh nampaknya berjuang sehingga berpisah dengan keluarga dan anaknya.
"Aktivis hari ini kita nampak sikit sangat dan belum banyak lagi perjuangan dan pengorbanan, tidak sebesar Said Zahari," kata Adam ketika dihubungi Malaysiakini.
Adam Adli yang menjadi aktivis pada tahun 2010 pernah bersama aktivis muda dari Kelab Bangsar Utama mengunjungi Said Zahari pada Mei tahun lepas sempena dengan hari jadi Said Zahari.
Wartawan harus bangkit jika ditindas
Katanya, beliau telah banyak membaca cerita tentang Said Zahari sebelum melawatnya, malah pernah mencipta lagu dengan mengguna puisi Said Zahari.
"Pengajaran bagi kita ialah perjuangan bukan satu perkara mudah.
"Saya nampak ketegasannya terutama dalam memimpin mogok untuk menentang campur tangan Umno dalam Utusan Melayu," katanya.
Beliau berpendapat bahawa wartawan hari ini patut mengambil pengajaran dan semangat daripada Said Zahari.
"Wartawan berhak memperjuang sesuatu perkara dan bukannya ikut kata orang lain semata-mata," katanya.
Said, 88, merupakan tokoh wartawan yang disegani dan pernah menjadi tahanan ISA di Singapura selama 17 tahun semasa era pemerintahan Lee Kuan Yew sebagai perdana menteri republik itu.
Beliau juga terkenal kerana pernah memimpin wartawan Utusan Melayu melakukan mogok pada tahun 1961 bagi membantah tindakan Umno menguasai akhbar tersebut.
Belajar tentang keberanian
Sementara itu, ahli jawatankuasa BERSIH yang juga seorang peguam, Fadiah Nadwa Fikri juga pernah mengunjungi rumah Said Zahari pada 2013 dengan aktivis lain. Pada masa itu, Said Zahari telahpu dibenarkan balik ke Malaysia di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Sebagai aktivis, saya belajar tentang keberanian daripada perjuangan Said Zahari.
"Saya mengetahui apakah erti bangkit untuk prinsip, kebebasan, keadilan dan kemuliaan manusia," kata Fadiah ketika dihubungi.
Katanya, Said Zahari merupakan seorang tokoh mulia yang bukan sahaja berani mempertahankan kebebasan Utusan Melayu, malah menentang penindasan penjajahan British pada ketika itu.
"Demi keadilan sosial dan kebebasan akhbar, dia disekat masuk ke Malaysia oleh Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman, malah akhirnya ditahan 17 tahun oleh kerajaan Singapura," katanya.
Menurutnya lagi, Said Zahari membolehkan aktivis muda faham akan perjuangan bukannya bermakna tamat mahupun ditangkap atau ditahan.
"Perjuangannya masih belum tamat dan perlu diteruskan," katanya.
Wira kewartawanan yang idealistik
Pengkaji Media Mustafa K Anuar berkata media kehilangan 'wira kewartawanan' dengan perginya Said Zahari.
Katanya, Said Zahari menitikberatkan idealisme bagi wartawan yang inginkan perubahan positif dalam masyarakat di mana dia bekerja.
"Ini juga bermakna Said Zahari memberi penekanan terhadap kebenaran, keadilan dan kebebasan dalam arena persuratkhabaran tanah air.
"Akhbar dan media lain memerlukan kebebasan untuk menjalankan peranannya dengan penuh tanggungjawab dan prinsip," katanya ketika dihubungi.
Mustafa mula bertemu dengan Said Zahari pada awal tahun 2000-an ketika beliau dan rakannya Anil Netto menemubual Said Zahari bagi majalah Aliran Monthly.
Sejak itu, beliau berhubung dengan Said Zahari hingga satu ketika mempelawanya ke Pulau Pinang untuk menyampaikan ucapan mengenai kebebasan akhbar anjuran Aliran.
"Said Zahari adalah seorang wartawan yang amat berprinsip dan berpegang teguh kepada idealisme.
"Ini jelas dilihat ketika beliau mengadakan mogok bersama-sama rakannya pada tahun 1961 kerana membantah usaha Umno mengambil alih akhbar Utusan Melayu.
"Walaupun beliau gagal mematah usaha pengambilalihan akhbar ini, namun beliau berjaya menekankan betapa pentingnya mempertahankan kebebasan akhbar dalam negara ini," kata Mustafa.
