Tiada keperluan untuk melaksanakan catuan bekalan air di Perak buat masa ini walaupun paras air di beberapa empangan utama di negeri itu merekodkan penyusutan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata berdasarkan laporan Lembaga Air Perak (LAP) bekalan air kepada penduduk masih dibekalkan seperti biasa.
"Tidak timbul isu di Perak ada catuan air dan sebagainya, malah tiada perkara yang di luar jangka berlaku.
"Kalau mengikut pengeluaran air dari Loji Rawatan Air (LRA) sehingga hari ini ia terkawal dan mampu menampung keperluan pengguna, maka penguna tidak perlu risau," katanya dalam sidang media mengenai bekalan air dan paras air di empangan serta sungai di Perak di Ipoh hari ini.
Zainol Fadzi menjelaskan paras Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta kini adalah 242.6 meter, menurun daripada paras normal 245 meter manakala paras air di Empangan Air Kuning, Taiping adalah 37.4 meter berbanding tahap kritikal 34 meter. Kedua-dua empangan itu adalah di bawah seliaan LAP.
Mengenai Empangan Bukit Merah yang diselia Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Zainol Fadzi berkata ia kini berada pada paras kritikal tahap ketiga iaitu 6.4 meter, susut daripada paras biasa 8.68 meter tetapi belum mencecah tahap bekalan dihentikan iaitu 5.20 meter.
Beliau berkata sekiranya paras air di empangan itu terus susut sehingga mencecah enam meter, kerja memasukkan air ke sawah-sawah padi sekitar Kerian melibatkan kawasan seluas kira-kira 5,000 hektar 20 April ini mungkin ditangguhkan.
"Kita perlu beri keutamaan untuk beri bekalan air kepada rakyat negeri perak," katanya.
Katanya bagi menghadapi masalah bekalan air semasa musim panas dan kering akibat Fenomena El-Nino ketika ini, LAP telah menyediakan beberapa pelan kontigensi yang diperlukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Antara langkah yang diambil termasuk bekerjasama dengan Tenaga Nasional Bhd untuk menyelaras pelepasan air empangan di Sungai Perak dan Sungai Batang Padang.
- Bernama
