Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muka depan palsu Time: Sivarasa didakwa, minta dibicara
Diterbitkan:  Apr 15, 2016 12:57 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Ahli Parlimen Subang R Sivarasa hari ini mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan berhubung dua pertuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ini berhubung tindakannya memuat naik muka hadapan palsu majalah Time di Facebook dengan menampilkan perkataan ‘No 2 on the most corrupt list’ (No 2 dalam senarai paling rasuah), tetapi memadamkannya selepas dimaklumkan imej itu palsu.

"Saya berpendapat semua ini adalah reaksi berlebihan berhubung satu perkara kecil," kata Sivarasa kepada pemberita selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia adalah kerana menggunakan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Sivarasa, 60, dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 11, Menara A, Panda Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di sini, jam 7.41 malam pada 22 Mac lalu, diikuti jam 4.59 pagi, 23 Mac lalu.

Jika bersalah, beliau boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Amernudin Ahmad kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Walaupun muka hadapan majalah yang dimuat naik oleh Sivarasa tidak wujud, Time pada bulan Mac memaparkan Datuk Seri Najib Razak dalam artikelnya mengenai rasuah global.

Malaysia muncul kedua dalam senarai skandal rasuah Time , selepas Brazil, dan sebelum Afrika Selatan, China dan Rusia.

Senarai itu tidak kelihatan mengikut urutan tertentu, tetapi sebaliknya memberikan contoh bagaimana skandal rasuah di setiap negara.

Bagaimanapun, penerangan artikel mengenai Malaysia masih tidak menyenangkan, berbanding dengan negara-negara lain dalam senarai.

Ia memfokuskan kepada skandal 1MDB, dan isu-isu sekitar derma RM2.6 bilion yang dikatakan masuk ke akaun bank peribadi Najib.

Najib menafikan beliau menyalahgunakan dana awam, manakala peguam pegara telah membersihkannya daripada sebarang salah laku.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS