Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP nafi SPRM Pulau Pinang ‘kepung’ balai polis Ayer Itam

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan laporan sebuat akhbar kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang melakukan serbuan mengejut dengan mengepung sebuah balai polis di Ayer Itam, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Sebaliknya, Khalid berkata kehadiran pegawai SPRM itu dibuat mengikut prosedur.

"Cerita itu tidak benar, yang kata kepung, serbu itu tidak benar. Mereka pergi ke balai itu untuk jalan tanggungjawab mereka, menyiasat dan menangkap anggota yang terlibat dalam kegiatan rasuah.

"Jangan percaya dengan berita yang disebarkan yang mana balai tersebut dikepung dan sebagainya, itu tidak benar.

“Hari ini ketua polis Pulau Pinang akan keluarkan kenyataan," kata Khalid pada sidang media selepas menghadiri majlis himpunan bulanan jabatan itu pagi ini di ibu pejabat polis daerah (IPD) Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Awal pagi Sabtu lalu, lima anggota dari balai polis Ayer Itam, Pulau Pinang dilaporkan ditahan dalam operasi SPRM Pulau Pinang.

Pada kejadian jam 3.30 pagi itu, SPRM menahan semua anggota terbabit berhubung dakwaan rasuah selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Mereka ditahan ketika berada dalam bilik Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ).

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk M Samarajoo, semalam turut menafikan pihaknya memgepung balai polis itu berkata penahanan anggota polis berkenaan dibuat berlandaskan undang-undang sedia ada dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata polis tidak akan berkompromi dalam perkara tersebut dengan membiarkan salah laku oleh anggotanya.

Beliau berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.

"Kita tidak akan sekali-kali berkompromi dengan sesiapa sahaja khususnya anggota polis yang terlibat dalam apa jua bentuk salah laku.

"Kita juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam hal-hal menyiasat dan membanteras salah laku ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS