GLOBAL Switzerland menggantung proses kewarganegaraan bagi keluarga dua adik beradik remaja Syria selepas keengganan remaja lelaki itu berjabat tangan dengan guru perempuan mereka atas sebab-sebab agama.
Kejadian itu mencetuskan perdebatan nasional mengenai kebebasan agama di Switzerland.
Dua beradik itu yang berusia 14 dan 15 tahun, merupakan anak-anak pelarian Syria dan diberikan suaka pada tahun 2001, telah memberitahu pegawai pendidikan di utara Therwil bahawa sentuhan fizikal dengan guru wanita bukan muhrim tidak dibenarkan dalam Islam.
Selasa lalu pihak berkuasa di Canton Basel berkata proses untuk memberi kewarganegaraan kepada keluarga itu ditunda.
Laporan itu juga menyatakan penggantungan itu adalah biasa dalam prosedur pemberian kerakyatan kerana pihak berkuasa memerlukan maklumat tambahan tentang keluarga berkenaan.
Kedua-dua remaja lelaki itu dikecualikan daripada bersalam dengan guru mereka dan pegawai pendidikan turut meminta mereka mengelakkan sentuhan dengan guru lelaki bagi mengelakkan diskriminasi gender.
Bagaimanapun kompromi itu dipanaskan dengan tindak balas daripada ahli-ahli politik Switzerland termasuk Menteri Kehakiman Simonetta Sommaruga yang menegaskan bahawa "Berjabat tangan adalah sebahagian daripada budaya Swiss".
Agensi berita Swiss Le News memetik Georges Thüring, Presiden suruhanjaya yang menyelia permohonan kewarganegaraan tempatan, sebagai berkata:
"Saya tidak fikir kita boleh cakap tentang integrasi dalam hubungannya dengan si pembantah salam.
"Secara peribadi, saya akan menolak permintaan mereka" sambil menambah bahawa "Sebagai presiden suruhanjaya itu, saya memberi jaminan kepada anda bahawa permohonan itu akan diperiksa dengan betul, seperti yang lain".
Le News juga melaporkan ketika ditemui, kedua-dua pelajar itu menegaskan bahawa memaksa mereka berjabat tangan dengan guru adalah diskriminasi.
"Tiada siapa yang boleh memaksa kami untuk menyentuh tangan," kata seorang daripada mereka.
Penduduk Switzerland berjumlah lapan juta orang dan 350,000 daripada mereka beragama Islam. Pertikaian yang sama berlaku sebelum ini apabila ibu bapa Islam meminta anak perempuan mereka dikecualikan daripada latihan renang.
Keluarga Islam bagaimanapun mendapat kemenangan di mahkamah terhadap sekolah-sekolah yang berusaha mengharamkan pemakaian hijab.
