Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SMS berunsur judi, SKMM tamatkan 8,000 nombor telefon
Diterbitkan:  Apr 20, 2016 5:36 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk menamatkan

perkhidmatan lebih 8,000 nombor telefon kerana menyebarkan sistem pesanan ringkas (SMS) berunsur perjudian.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata SKMM juga menerima 416 aduan orang awam berhubung SMS berunsur perjudian antara 2015 hingga Mac tahun ini.

"Pihak SKMM mengumpul maklumat yang diterima daripada aduan awam itu, mengenal pasti nombor-nombor telefon berkaitan untuk sekatan dan memanjangkan mahklumat berkaitan untuk siasatan lanjut Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Zali Mat Yasin yang meminta kementerian menyatakan sama ada SKMM mempunyai kaedah dan tindakan khusus bagi mencegah atau mengambil tindakan penguatkuasaan secara efektif dalam memerangi aktiviti perjudian dalam talian.

Mengulas lanjut, Jailani berkata kementerian bekerjasama erat dengan PDRM dalam membanteras kegiatan judi dan penipuan dalam talian yang meliputi aspek kerjasama pemantauan, pengesanan, perkongsian maklumat dan aspek forensik digital.

Satu daripada langkah lanjutan yang diambil bagi mengekang penularan laman web judi dalam talian adalah dengan melaksanakan sekatan akses terhadap laman web yang menawarkan perkhidmatan berunsur perjudian, katanya.

"Dari 2012 sehingga Mac 2016, sejumlah 664 laman web disekat aksesnya oleh SKMM berdasarkan permohonan bertulis daripada pihak PDRM bagi kesalahan mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953," katanya.

Jailani berkata SKMM turut menjalin kerjasama erat dengan agensi-agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Bank Negara Malaysia bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian.

Pada 2014, SKMM menyekat 2,268 laman web dengan 538 daripadanya hasil permohonan agensi penguat kuasa manakala 1,730 laman web disekat berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tahun lepas, sebanyak 2,203 laman disekat di mana 631 disekat SKMM atas permintaan oleh agensi-agensi termasuk PDRM, KPDNKK dan Jakim manakala 1,572 disekat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya tindakan menyekat laman web adalah penyelesaian terakhir yang diambil SKMM dalam menangani kes-kes perjudian dan penipuan dalam talian.

- Bernama

Lihat Komen
ADS