MTUC kaji kenapa KWSP bayar dividen rendah
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak dapat menerima kadar bayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanya, 4.75 bagi tahun kewangan 2004 kerana ia tidak menggambarkan situasi ekonomi negara yang kini baik dan kukuh.
Di samping itu, MTUC juga mempersoalkan mengapa institusi kerajaan yang lain seperti Bank Rakyat dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) boleh menawarkan kadar dividen yang lebih tinggi.
Kadar dividen KWSP bagi tahun 2004 hanya meningkatkan 0.25 peratus berbanding dividen 4.5 peratus bagi tahun 2003.
Pada tahun 2003, Bank Rakyat membayar dividen 15 peratus kepada ahlinya merangkumi 10 peratus dividen tunai dan lima peratus lagi dalam bentuk saham serta bonus 0.5 peratus.
Manakala bagi 2003, LTAT telah membayar dividen 7.0 peratus dan bonus 3.75 peratus, menjadikan jumlah kadar bayaran dividen dan bonus kepada para pencarumnya sebanyak 10.75 peratus.
Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamud berkata, pada tahun 80-an dan 90-an, KWSP membayar dividen di antara 8 dan 10 peratus kepada pencarumnya.
Di mana silapnya?
"Mengapa institusi pelaburan kerajaan lain seperti Bank Rakyat dan LTAT boleh membayar dividen yang lebih tinggi kepada pencarumnya.
"Di manakah silapnya pelaburan yang dibuat oleh KWSP? Mengapa mereka tidak membuat penjelasan tentang perkara tersebut?" katanya dalam pertemuan dengan malaysiakini .
Berikutan itu, katanya, MTUC sedang membuat kajian untuk mengenalpasti kadar pembayaran dividen yang rendah oleh KWSP seperti yang diumumkan baru-baru ini.
Syed Shahir berkata, pakar-pakar ekonomi MTUC sedang mengkaji mengenai prestasi pelaburan KWSP dan beberapa perkara lain yang berkaitan.
"Kenaikan dividen sebanyak 0.25 peratus tidak boleh diterima. Malah KWSP telah mengumumkan prestasi kewangan mereka juga menggalakkan.
"Mungkin kerajaan atau KWSP sendiri boleh menyiasat mengenai sebarang kemungkinan penyelewengan dalam agensi simpanan terbesar negara itu," katanya.
Beliau berkata, MTUC baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan Dua, Datuk Nor Yaakob bagi menyatakan pandangan kesatuan itu mengenai kadar dividen 4.75 peratus itu.
Pinjaman pada PTPTN
Bagaimanapun, katanya, MTUC tidak akan menarik empat wakilnya yang menduduki Lembaga Pengarah EPF kerana ia adalah kehendak pekerja. Mereka ialah bekas Presiden MTUC, Zainal Rampak; Timbalan Presiden, Shafie Maamal; wakil MUTC Sabah, Andrew Loon dan wakil MTUC Sarawak, Christina Jilaka.
KWSP mempunyai 20 Ahli Lembaga Pengarah lima wakil pekerja, lima majikan, lima wakil kerajaan, tiga ahli bebas seorang, pengerusi dan seorang lagi ketua pegawai eksekutif.
MTUC juga, kata Syed Shahir, membatalkan pertemuan dengan pengurusan KWSP pada 15 Februari lalu kerana lembaga itu "terlalu cepat" mengumumkan kadar dividen tahun 2004.
"Dalam perjanjian awal, KWSP akan membuat pengumuman kadar dividen selepas pengurusan mereka bertemu dengan wakil MTUC, tetapi pada 13 Februari, media massa tempatan menyiarkan kadar dividen untuk tahun lalu.
"Ini bermakna KWSP telah membuat pengumuman mengenai kadar dividen tanpa merujuk dan berbincang dengan MTUC terlebih dahulu," katanya.
Sementara itu, MTUC juga membantah tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuat pinjaman RM2 bilion dari KWSP untuk membantu membiayai pelajar institusi pengajian tinggi.
Syed Shahir berkata, PTPTN tidak boleh mengambil wang KWSP kerana ia adalah wang pekerja untuk simpanan hari tua mereka.
"Tanggungjawab pendidikan adalah di tangan pemerintah. Mengapa pemerintah tidak menggunakan sumber kewangan mereka sendiri untuk membiayai pendidikan?' katanya.
Beliau berkata, MTUC bimbang, jika KWSP memberi wang kepada agensi kerajaan seperti PTPTN sesuka hati, simpanan pekerja akan terjejas jika pelajar tidak membayar balik pinjaman mereka.
"Jika perkara itu berlaku, siapakah yang mahu bertanggungjawab kerajaan, PTPTN atau KWSP," soalnya.