Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
The Strategist: Tak mungkin Dr M berjaya jatuhkan Najib
Diterbitkan:  Apr 21, 2016 3:41 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Sebuah artikel yang diterbitkan dalam talian oleh Institut Dasar Strategi Australia, The Strategist berpendapat Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mungkin akan berjaya menumbangkan anak muridnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Ada beberapa faktor yang akan menentukan nasib Najib antara sekarang sehingga pilihan raya akan datang.

“Kebanyakannya mencadangkan adalah sukar untuk menyingkirkannya daripada jawatan sekarang dan semakin lama beliau kekal semakin sukar untuk berjaya,” kata penulisnya, Donald Greenlees.

Menurutnya, antara faktor-faktor keupayaan Najib akan kekal berkuasa adalah kerana beliau mampu mengekalkan sokongan majoriti di kalangan ketua-ketua bahagian Umno dan di sebalik kelembapan ekonomi dunia, ekonomi Malaysia kekal stabil dan ini tidak mungkin menjana rasa tidak puas hati.

Tambahan pula, Greenlees berkata kejayaan Najib dalam menutup siasatan di Malaysia mengurangkan peluang kerjasama dengan penyiasat antarabangsa, yang bermaksud bahawa mereka akan menghadapi kekurangan maklumat dari Malaysia.

"Walaupun ramai rakyat Malaysia marah, mungkin lebih ramai lagi yang keliru dan kepenatan dengan skandal tersebut.

"Beliau mungkin dibantu dalam negara oleh pengesahan Arab Saudi minggu lalu bahawa sumber AS$681 juta 'derma' kepada Najib datang dari negaranya, meskipun masih terdapat orang yang percaya bahawa wang itu datangnya dari 1MDB," katanya.

Greenlees juga berpendapat bahawa pembangkang juga tidak berada di landasan yang kuat.

Mahathir mendakwa Najib terpalit rasuah dan berikrar untuk menumbangkannya manakala Najib pula menuduh bekas perdana menteri itu bercita-cita mahukan anaknya sendiri sebagai pemimpin negara.

Pada masa ini, siasatan sedang dijalankan oleh sekurang-kurangnya lima buah negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, Luxembourg, Singapura dan UAE.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah menolak cadangan Bank Negara untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal 1MDB sementara siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula buntu kerana Apandi enggan memohon bantuan undang-undang bersama (MLA) yang akan membolehkannya mendapatkan maklumat dari pihak berkuasa luar negara.

Siasatan SPRM berhubung wang berbilion ringgit yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak juga ditolak oleh Apandi yang membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku atas alasan wang berkenaan adalah "derma" yang telah dikembalikan.

Apandi juga membebaskan Najib daripada sebarang pertuduhan berhubung jutaan ringgit wang SRC International milik negara yang berada di akaun banknya atas alasan bahawa perdana menteri tidak tahu mengenai perkara itu.

Najib menafikan wang yang diterimanya mempunyai sebarang kaitan dengan 1MDB dan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mengenai siasatan 1MDB mendapati kedudukan wang berbilion ringgit tidak dapat dipastikan. Polis sejak itu telah memulakan siasatan.

Minggu lalu, didedahkan bahawa 1MDB memindahkan AS$3.5 bilion yang sepatutnya dibayar kepada anak syarikat, International Petroleum Investment Syarikat (IPIC), Aabar Investment PJS, tetapi disalurkan kepada sebuah syarikat yang mempunyai mempunyai nama yang hampir sama tetapi tidak ada kena mengena dengan firma Abu Dhabi itu.

The Wall Street Journal mendakwa bahawa sebahagian wang daripada syarikat palsu itu kemudiannya berakhir di Tanore Finance Corp yang juga berpangkalan di Kepulauan British Virgin, entiti sama yang memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Pegawai Najib menegaskan bahawa cubaan untuk menghubungkan wang berbilion di akaun bank Najib dengan 1MDB adalah rekaan oleh Mahathir.

IPIC sejak itu membatalkan perjanjian pertukaran hutang-aset dengan 1MDB, meletakkan pelan rasionalisasi firma dana negara yang diilhamkan oleh Najib menjadi terumbang ambing.

Lihat Komen
ADS