Sebanyak 371 ekor ular pelbagai spesies ditangkap anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah di seluruh negeri ini dari Januari hingga 1 April lepas.
Pengarah JPAM Sabah Kolonel (PA) Mulliadi Al-Hamdi Bin Ladin berkata antara ular yang ditangkap itu ialah ular tedung dan ular sawa.
"Ular ini ditangkap di luar dan dalam bangunan... ada yang ditangkap di dalam bilik tidur, atas siling, dalam dapur, dalam mangkok tandas, dalam kenderaan malah di dalam bonet (injin) kereta pun ada," katanya kepada Bernama hari ini.
Mulliadi tidak menolak kemungkinan yang perubahan cuaca atau habibat menyebabkan haiwan berbisa itu berkeliaran.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 22 kes sengatan obor-obor dilaporkan di pantai Tanjung Aru di sini, berbanding 25 kes sepanjang tahun lepas.
Murid dipatuk ular stabil
Sementara itu, murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Chembong di Rembau yang dipatuk ular ketika mengikuti pendidikan jasmani di padang sekolah semalam kini berada dalam keadaan stabil.
Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil berkata murid itu masih menjalani pemantauan rapi di Hospital Tuanku Jaafar.
Beliau berkata ibu murid perempuan tersebut memaklumkan keadaan anaknya pulih seperti sedia kala, aktif serta boleh makan dan minum.
Sementara itu katanya keadaan padang sekolah tersebut didapati bersih, tidak bersemak dan tidak dipenuhi lalang.
Rusni memberitahu pemberita pihaknya telah menyebarkan maklumat berkaitan penjagaan keselamatan murid kepada guru besar dan pengetua sekolah susulan kejadian tersebut.
Beliau meminta pihak sekolah agar memberi kaunseling kepada murid berkenaan apabila dia bersekolah semula.
- Bernama
