mk-logo
Berita
Sultan sah lucut semua darjah kebesaran MB Terengganu
Diterbitkan:  Apr 25, 2016 11:00 AM
Dikemaskini: 5:01 PM

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melucut semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Menurut Bernama , pelucutan itu berkuat kuasa Jumaat 22 April.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu hari ini.

"Setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Negeri Terengganu, adalah dimaklumkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah melucutkan semua Darjah-darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang telah dikurniakan kepada Ahmad Razif bin Abd Rahman berkuat kuasa mulai hari Jumaat, 22 April 2016.

"Pengisytiharan yang dibuat ini tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di negeri Terengganu," petik kenyataan itu.

Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini meminta semua pihak menghentikan spekulasi mengenai kedudukan Ahmad Razif dan berkata beliau akan mengadap Sultan Mizan berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata pentadbiran kerajaan negeri Terengganu masih berjalan seperti biasa.

Hubungan antara istana dan Ahmad Razif menimbulkan persoalan sejak Sabtu lalu selepas beliau diperkenalkan dalam dua majlis rasmi tanpa gelaran darjah kebesaran 'Datuk Seri'.

Sesetengah penganalisis menjangkakan BN Terengganu bakal berdepan dengan krisis berikutan perkembagan itu kerana ia hanya mempunyai majoriti kerusi yang tipis.

BN mempunyai 17 ADUN, manakala pembangkang memiliki 15 kerusi - 14 daripada PAS dan seorang daripada PKR.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, awal bulan lalu memfailkan undi tidak percaya terhadap Razif, mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi pertukaran menteri besar.

Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Speaker Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Razif mengambil alih jawatan menteri besar daripada Ahmad pada Mei 2014.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini