Lepas 30 tahun, 'Team B' Umno muncul kembali

   

Tiga puluh tahun yang lalu, gelaran Team B mungkin menghantui Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri yang berdepan saingan Tengku Razaleigh Hamzah ketika itu.

Pergolakan dalam terbesar dalam Umno itu berkisar mengenai penentangan Team B menentang Mahathir dalam Team A.

Bagaimanapun, selepas hampir 30 tahun, siapa sangka label itu digunakan semula oleh anak beliau dan pemimpin kanan Umno yang senada dengan beliau.

Hari ini, Mukhriz, anak kelima Mahathir, menggunakan kembali gelaran itu dalam tweet beliau, yang sekali gus mengimbau kenangan perpecahan Umno sekitar 1987.

Team B diwujudkan bagi mewakili kumpulan lantang dalam Umno, melibatkan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mereka berempat dijadualkan mengadakan ceramah di Dewan Lye Huat Garden, Napoh, Jitra pada 28 April ini, jam 8.30 malam.

Tajuk ceramah berkenaan ialah “Bicara Isu-isu Semasa: Selamatkan Malaysia”, tema gerakan Deklarasi Rakyat yang ditubuhkan baru-baru ini.

Mukhriz ketika dihubungi Malaysiakini enggan memberi maklum balas.

Sejarah kewujudan Team A dan Team B Umno sangat memberi kesan dalam politik Malaysia kerana menyebabkan parti tertua di negara ini diisytiharkan sebagai haram dan seterusnya, mewujudkan Umno baru yang didaftar semula pada 4 Februari 1988.

Selain mendapat sokongan dua bekas perdana menteri iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn, Team B turut dianggotai oleh Tun Musa Hitam, Tan Sri Dr Rais Yatim, Datuk Suhaimi Kamaruddin dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek

Sebelum ini, portal pro-Umno, Mykmu.net melaporkan Najib sebagai berkata Mahathir sendiri pernah menempuh ujian dan beliau tidak boleh kekal sebagai perdana menteri selama 22 tahun jika tidak mendapat sokongan pemimpin lain.

“Mana tak ada ujian. Ujian Team A, Team B (dalam pemilihan Umno, Dr Mahathir) hampir kalah. Hampir 50 peratus ahli Umno suruh dia letak jawatan. Tapi apa dia jawab, ‘walaupun saya menang satu undi, saya akan tetap terus menjadi Perdana Menteri’. Oh hebat dia jawab.

"Saya antara yang menyokong dia. Dia (Mahathir) kekal menjadi perdana menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam susah kita beri sokongan dia kekal. Kalau kita tak sokong pemimpin menghadapi ujian, Mahathir tidak boleh kekal 22 tahun menjadi perdana menteri," kata Najib.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda