Sejumlah 140,420 pelajar antarabangsa telah diterima masuk di Malaysia pada 2015 untuk mengikuti pelbagai kursus di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institusi latihan kemahiran serta sekolah swasta dan antarabangsa, melepasi sasaran sebanyak 3.1 peratus.
Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015 menunjukkan bahawa daripada 140,420 pelajar yang diterima masuk, 113,711 ialah pelajar institusi pengajian tinggi sementara 26,709 pelajar ialah di sekolah swasta dan antarabangsa.
Usaha berterusan dalam mewujudkan hab pendidikan telah membolehkan lebih ramai pelajar antarabangsa datang ke Malaysia bukan sahaja untuk pendidikan tertiari tetapi juga untuk melanjutkan pengajian dan program dalam bidang latihan teknikal dan vokasional, kata laporan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global (EGMS), Mohd Yazid Abd Hamid berkata laporan itu menyatakan bahawa jumlah enrolmen pelajar antarabangsa di kedua-dua institusi dan sekolah antarabangsa pada 2015 ialah 151,979 orang.
"Ini mencerminkan peningkatan 12 peratus daripada 135,502 kemasukan pelajar pada 2014. Daripada 151,979 pelajar, 80.3 peratus memasuki institusi pengajian tinggi dengan 41 peratus dalam program ijazah, 40 peratus program diploma dan 9 peratus program pasca ijazah. Nisbah pelajar antarabangsa dengan pelajar tempatan pada 2015 ialah 12:100 berbanding 5:100 pada 2002," kata laporan itu.
EGMS, sebuah inisiatif di bawah Entry Point Project 12 (EPP12), ialah syarikat yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang berperanan untuk memasarkan Jenama Pendidikan Malaysia, menguruskan permohonan, pemprosesan dan pembaharuan visa pelajar antarabangsa ke HLI, dan institusi latihan kemahiran.
Mohd Yazid juga berkata laporan itu menyebut bahawa Malaysia kini menduduki ranking ke 12 sebagai destinasi pendidikan tinggi yang paling digemari oleh pelajar antarabangsa dan Kuala Lumpur meraih kedudukan teratas sebagai bandaraya yang mampu didiami oleh pelajar.
Sementara itu, Laporan Tahunan NTP 2015 berkata inisiatif di bawah Entry Point Project 15 (EPP15), penubuhan kampus-kampus cawangan, telah menyaksikan Malaysia mempunyai kampus cawangan yang paling banyak di dunia.
Sejak beberapa tahun lepas, empat kampus caswangan tersohor telah ditubuhkan di Malaysia di bawah inisiatif NKEA Pendidikan, iaitu Heriot-Watt University Malaysia (HWUM), Newcastle University of Medicine Malaysia (NUMed), University of Reading Malaysia (UoRM) dan University of Southampton Malaysia (USMC), kata laporan itu.
Selain daripada kampus cawangan sedia ada, Xiamen University dari China juga telah menubuhkan kampus cawangan di Malaysia.
Laporan Tahunan NTP 2015 juga menyatakan bahawa EduCity, inisiatif di bawah Entry Point Project 11 (EPP11), menyaksikan peningkatan 43 peratus enfrolmen pelajar di institusi EduCity daipada 2,822 pelajar pada 2014 kepada 4,022 pelajar pada 2015.
EduCity ialah konsep unik hab pendidikan yang membolehkan pelajar belajar, hidup dan beriadah di satu lokasi yang tunggal.
Inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama negara (NKRA) Pendidikan juga menyaksikan 132 Sekolah Berprestasi Tinggi (HPS) dalam gtenmpoh lima tahun, melepasi sasaran 100 sekolah di bawah pelan pendidikan Program Transformasi Negara dan dalam proses mengubah kehidupan kebanyakan pelajar.
Dalam pada itu, Pengajian dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang dikenal pasti sebagai bidang baharu pertumbuhan dan penting bagi aspirasi negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, terus diberi fokus dalam NKEA.
Di bawah Rancangan Malaysia ke-11, TVET diiktiraf sebagai saluran paling pengting untuk meningkatkan asas modal insan yang berkemahiran di Malaysia dan penekanan diberi untuk menyokong pertumbuhan institusi TVET dan menyelaraskan sektor itu untuk mencapai pertumbuhan yang disasarkan.
- Bernama
