Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setelah hampir tiga tahun tidak mendapat bantuan sewajarnya, mangsa kebakaran Kampung Dato Lama merayu supaya calon yang menang di kawasan tersebut dapat membantu mereka.

Menurut Mohd Juanda Mohd Ali, 52 - seorang daripada 144 mangsa, selepas kebakaran di kampung itu pihak kerajaan hanya menghulurkan bantuan semasa awal bencana.

Juanda berkata bantuan itu juga diberikan secara berperingkat dan jumlahnya tidak mencukupi memandangkan semua mangsa tinggal sehelai sepinggang.

Apa yang lebih mengecewakan, katanya, sumbangan yang dihulurkan tidak setimpal dengan jumlah kutipan derma yang diperolehi oleh pihak tertentu.

"Jumlah kutipan derma yang diperolehi bagi setiap keluarga selepas dikira ialah RM12,000 lebih. Tapi diberi sikit-sikit. Dan sekarang ini tak bagi langsung.

"Kita semua ini orang kampung, tak ada pendapatan tetap, ada yang ada anak nak bersekolah," katanya kepada Malaysiakini .

Kebakaran di Kampung Dato Lama berlaku pada Jun 2013.

Mangsa kemudiannya ditempatkan di perumahan sementara di Sibu Jaya dan Rantau Panjang.

Bagaimanapun, sehingga hari ini hanya empat buah rumah sahaja yang telah mendirikan rumah mereka di tapak sama di Kampung Dato Lama dengan menggunakan wang sendiri.

Selain itu, seorang lagi mangsa, Zahrah Mohd Ali, 63 mengharapkan agar mana-mana wakil rakyat yang menang pada pilihan raya negeri kali ini supaya membantu mangsa kebakaran seperti mereka.

Zahrah yang adalah seorang pesara juga memberitahu, beliau telah berputus harap terhadap kerajaan kerana tidak menunaikan banyak perkara yang dijanjikan selepas kebakaran.

Beliau turut melahirkan rasa kurang selesa di penempatan sementara itu dan berharap agar mereka diberi bantuan untuk membina rumah di tapak rumah sebelum ini.

"Mangsa kebakaran perlu dibela. Sebelum ini mereka kata barang yang terbakar boleh tuntut tapi sampai sekarang tak boleh.

"Kita semua orang kampung Melayu. Dah biasa duduk di kampung. Di sini kita tak berapa selesa sangat dan persekitaran dia pun tidak sama seperti di kampung," katanya.

Selain itu, sebagai mewakili suara daripada mangsa kebakaran, Zahrah juga mengharapkan agar semua mangsa dapat membina semula rumah di tapak rumah yang terbakar sebelum ini.

"Kita juga mahu rumah dikekalkan di tapak lama. Kita nak kekalkan warisan.

"Kita mahu kekalkan rumah ditapak lama untuk warisan. Kita nak sangat-sangat," katanya sambil menambah bahawa Kampung Dato Lama telah berusia lebih 100 tahun.

Kampung Dato Lama terketak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.

Dr Annuar Rapaee menang di kawasan tersebut pada 2011 mengalahkan calon PKR Norisham Mohd Ali dengan majorit 5,302 undi.

Kali ini Annuar akan berdepan dengan calon PKR Abdul Raafidin Majidi dan calon parti STAR Tiong Ing Tong.

Selain itu bagi Che Awang Ismail, 57, pula melahirkan kekecewaan kepada kerajaan kerana tidak menyalurkan sumbangan sewajarnya kepada mangsa kebakaran.

Beliau yang mendirikan rumah hasil daripada wangnya sendiri berkata, pihak bertanggungjawab terutamanya wakil rakyat di kawasan itu sepatutnya lebih prihatin terhadap mangsa dan memberi bantuan bagi mangsa untuk membuat rumah.

"Mereka bagi sikit-sikit. Kita nak buat rumah. Macam rumah saya, saya pakai duit sendiri. Rumah depan ini pula dia beli sikit-sikit bahan untuk buat rumah. Dia kumpul duit.

"Tapi yang tak mampu macam mana?," soalnya.

Perkara sama turut dikongsikan oleh salah seorang penduduk kampung tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan dan Bujang Wasli yang bersimpati dengan nasib mangsa kebakaran tersebut.

Sementara itu, Malaysiakini juga telah cuba mendapatkan respon mengenai isu ini daripada penyandang ADUN Nangka Dr Annuar Rapaee.

Bagaimanapun beliau tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai perkara tersebut.

"Minta maaf. Terima kasih," katanya ketika ditemui.

Lihat Komen
ADS