Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita kutip sayur busuk mohon IC, anak tak sekolah

Seorang wanita dan empat anaknya seolah-olah terasing di negara sendiri apabila tidak boleh memohon bantuan dan menghantar anak-anaknya ke sekolah kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Lebih menyedihkan, beliau yang hidup dihimpit kemiskinan kini terpaksa meneruskan kehidupan dengan mengutip sisa sayur terbuang dari Pasar Padawan Kuching, Sarawak.

Wanita malang itu, Ita Anak Peri, ditemui Malaysiakini bersama tiga anaknya yang masih kecil ketika sedang menyelongkar tong sampah di belakang pasar itu.

Katanya, setiap hari sekitar jam 11.30 pagi, beliau akan membawa anak-anaknya ke pasar tersebut bagi mengutip sisa sayur terbuang untuk dibawa pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari pasar itu.

“Saya jalan kaki dari Batu 10 ke sini setiap hari untuk kutip sayur-sayuran untuk dibawa pulang.

“Saya ambil sayur rosak ini nanti pulang saya akan cuci dulu, terpaksalah, sebab tidak ada duit,” kata Ita yang berusia 35 tahun.

Kini suaminya menyara keluarga mereka dengan pendapatan RM35 sehari sebagai pekerja binaan bersama anak sulungnya yang berusia 14 tahun.

Menurut Ita, beliau sendiri tidak dapat mengingat dengan jelas tarikh lahir tiga lagi anaknya yang masih kecil.

Wanita kaum Iban ini berkata, beliau dan kesemua anaknya tidak mempunyai surat beranak termasuk kad pengenalan diri sebaliknya hanya mempunyai ‘kad klinik’ yang digunakan bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Anak lahir di ladang sawit

Ita berasal dari Hulu Bakong berdekatan Baram iaitu kira-kira 24 kilometer dari Miri Sarawak.

Menurut wanita ini, beliau melahirkan tiga anaknya di ladang kelapa sawit manakala anak bongsunya pula di hospital kerajaan.

“Saya dan kesemua anak-anak saya tidak mempunyai kad pengenalan, surat beranak tapi kad klinik ada.

"Saya tidak tahu bagaimana cara memohon surat beranak bagi anak-anak saya,” kata Ita sambil mengendong anak perempuannya.

Beliau yang kini menetap di kawasan pembinaan berkata oleh kerana anak-anaknya tidak mempunyai surat beranak, kesemua mereka kini tidak boleh bersekolah.

“Anak tidak sekolah, tidak tahu cara minta (bantuan) kerana tidak ada surat beranak,” katanya.

Ita berharap menjelang Pilihan Raya Negeri ke 11 (PRN11) Sarawak, kerajaan negeri dapat memberinya kad pengenalan diri termasuk surat beranak buat anak-anaknya.

“Minta kerajaan bagi kad pengenalan. Sebelum ini pernah minta tapi sekali masa itu sahaja,” katanya.

Lihat Komen
ADS