Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Timbalan Zeti diumum gabenor baru Bank Negara
Diterbitkan:  Apr 27, 2016 3:00 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara yang baru, berkuat kuasa 1 Mei.

Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Muhammad untuk tempoh lima tahun akan datang bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Abdul Aziz.

Dalam kenyataannya, Najib berkata, kerajaan sangat berkeyakinan di bawah kepimpinan Muhammad, bank pusat itu akan terus memberi sumbangan dalam membantu kerajaan, memberi nasihat dan pandangan bagi memacu perkembangan ekonomi negara.

"Serta mentadbir dasar monetari dan mengawal selia industri kewangan negara, termasuk juga meneruskan usaha Bank Negara Malaysia untuk membangunkan industri kewangan dengan sewajarnya," katanya.

Muhammad yang sebelum ini merupakan Timbalan Gabenor Bank Negara sejak 2010 memegang sijil Sarjana Universiti Harvard dari Amerika Syarikat.

Pada masa yang sama, Najib turut menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dr Zeti atas segala sumbangan beliau sebagai gabenor Bank Negara ketujuh.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Dr Zeti di atas segala sumbangan cemerlang beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Gabenor Bank Negara yang ketujuh," jelasnya.

Sebelum ini, terdapat spekulasi Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar akan mengisi jawatan itu.

Para pelabur dan penganalisa dilaporkan memuji Zeti atas sumbangannya melaksanakan dasar-dasar yang tepat dan menaikkan kewibawaan bank pusat itu, terutama ketika kontroversi 1MDB.

Pemimpin pembangkang pula berharap pengganti Zeti dapat menyelesaikan masalah berkaitan syarikat pelaburan negara sarat hutang itu.

Gabenor baru ini dilihat menggalas tugas penting ketika paras nilai ringgit berada di tahap rendah, selain kejatuhan harga minyak yang mempengaruhi kewangan negara.

Lihat Komen
ADS