Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH dakwa SPR 'diam sepanjang masa'
Diterbitkan:  Apr 28, 2016 7:35 AM
Dikemaskini: 7:40 AM

BERSIH mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal memastikan proses pilihan raya negeri Sarawak berjalan dengan adil.

Gabungan pemantau pilihan raya itu antaranya membangkitkan sekatan terhadap ahli politik dan aktivis semenanjung daripada masuk ke negeri itu, ketika fasa kerajaan sementara.

BERSIH membangkitkan sikap "berdiam sepanjang masa" SPR ketika Ketua Menteri Tan Sri Adenam Satem menghalang aktivis dan ahli politik semenanjung masuk ke bumi kenyalang

"Barangkali Adenan Satem juga sudah lupa bahawa beliau bukan lagi ketua menteri Sarawak dan beliau tidak punyai kuasa untuk menghalang kemasukan aktivis dan ahli politik.

“Segala pengharaman selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri adalah haram," kata BERSIH.

Sementara itu, BERSIH berkata, walaupun perkara itu bukan bawah bidang kuasa SPR, suruhanjaya itu seharusnya menasihati kerajaan sementara bahawa halangan itu melanggar prinsip asas kebebasan berkempen dan juga ketertiban politik rakyat Malaysia.

Perkara itu juga, kata BERSIH, bertentangan dengan semangat pilihan raya yang bebas dan adil dan menunjukkan pesta demokrasi itu bermula tanpa padang sama rata.

BERSIH terlibat memantau perjalanan kempen pilihan raya negeri di beberapa DUN. Beberapa petugas mereka sendiri didakwa dihalang masuk ke Sarawak sejak 2011 lagi.

Adenan semalam mempertahankan sekatan dibuatnya atas alasan mahu menapis “beberapa aspek budaya politik di Malaysia Barat” dan mempertahankan kepentingan Sarawak.

Beliau mengingatkan supaya pihak yang mahu masuk ke Bumi Kenyalang menjaga kelakuan masing-masing.

Pilihan raya Sarawak akan berlangsung pada 7 Mei ini.

Pilihan raya kali ini menjadi ujian pertama Adenan yang mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Tan Sri Taib Mahmud yang sangat lama mentadbir negeri itu.

Lihat Komen
ADS