Kerajaan didesak tolak suruhanjaya antara agama
Jawatankuasa Penyelaras Gabungan NGO Islam (Accin) gabungan 13 badan Islam mendesak kerajaan supaya menolak sepenuhnya cadangan penubuhan suruhanjaya antara agama yang didakwanya, sedang diusahakan oleh "beberapa individu dan badan bukan Islam".
Dalam memorandumnya kepada kerajaan, bertarikh 25 Februari, badan tersebut secara khusus menamakan pihak terbabit sebagai Majlis Perundingan Malaysia bagi agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh (MCCBCHS) serta jawatankuasa kecil hak asasi manusia Majlis Peguam.
Usaha untuk menubuhkan suruhanjaya antara agama itu diselaraskan oleh sebuah jawatankuasa pemandu yang dianggotai oleh peguam, wakil pelbagai agama serta individu, termasuk yang beragama Islam.
Accin adalah antara pihak yang membantah keras cadangan penubuhan suruhanjaya itu serta bertindak memulaukan persidangan untuk membincangkan perkara tersebut minggu lalu, yang dihadiri oleh lebih 200 individu dan wakil daripada lebih 50 badan.
Memorandum itu, yang ditandatangani oleh Pengerusi Accin, Mustapha Ma, turut disertakan dengan ringkasan memorandum tujuh perkara yang didakwanya anti-Islam, yang dikemukakan oleh MCCBCHS kepada Majlis Peguam pada 22 Ogos 2001.
Memorandum Accin itu mengandungi tujuh perkara utama, antaranya, Mustapha menuduhkan orang bukan Islam mempertikaikan ajaran Islam tertentu yang tiada kaitan dengan mereka.
"Memorandum MCCBCHS itu jelas memperlihatkan campurtangan dalam ajaran Islam. Tindakan untuk menggunakan badan berkanun untuk mencapai matlamatnya, tidak akan mengesahkan hak MCCBCHS untuk campurtangan.
"Sebaliknya, ia akan menjejaskan keharmonian beragama di negara ini," katanya dalam memorandum lima muka surat itu.
Bangkitkan isu azan
Sambil mendakwa wujudnya kebencian di kalangan ahli-ahli Majlis Peguam terhadap Islam, beliau menyentuh mengenai kontroversi baru-baru ini berhubung isu azan yang tercetus berikutan tulisan seorang peguam kanan.
Mustapha turut melahirkan rasa bimbangnya, jika sebuah badan antara agama dibenar ditubuhkan, ia lama kelamaan menjadi kuat, dan seterusnya akan melemahkan Islam.
Ketika diminta mengulas mengenainya, seorang ahli jawatankuasa pemandu itu, K Shanmuga berkata badan-badan Islam serta beberapa individu turut terbabit, walaupun tidak lama, di peringkat awal usaha untuk menubuhkan badan antara agama itu.
"Contohnya, Accin telah dijemput menganggotai jawatankuasa penaja yang membuat persediaan untuk mengadakan bengkel antara agama pada tahun 2003 (anjuran Majlis Peguam), dan mereka turut menghadiri beberapa mesyuarat yang diadakan," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pada awal tahun 2002, Accin menarik diri selepas pihak penganjur dikatakan tidak dapat memenuhi permintaannya supaya perkara-perkara mengenai antara agama tidak dibincangkan langsung di bengkel tersebut.
Shanmuga berkat, pihak penganjur tidak dapat berbuat demikian kerana bengkel itu terbuka kepada penyertaan orang ramai.
Katanya, Sisters in Islam juga menarik diri pada awalnya, tetapi mereka kemudiannya turut menyertai bengkel tersebut dan sejak itu sentiasa menyokong inisiatif antara agama.
Memorandum yang sama
Shanmuga, yang juga ahli exco yang mewakili Hindu Sangam dalam MCCBCHS, berkata majlis itu telah mengemukakan memorandum yang sama kepada Suhakam pada 8 April 2002.
Memorandum itu menggariskan aduan dan kes-kes di mana orang bukan Islam berdepan dengan masalah berhubung pentadbiran perundangan Islam dalam perkara-perkara kekeluargaan dan aspek-aspek kehidupan yang lain.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mahu jawatankuasa terpilih semua parti di Parlimen ditubuhkan untuk mengkaji draf rang undang-undang suruhanjaya antara agama apabila Dewan Rakyat bersidang semula bulan depan.
Merujuk kepada persidangan antara agama dan cadangan penubuhan suruhanjaya tersebut, beliau berkata, kritikan dan reaksi negatif terhadap inisiatif yang "amat penting dan patut dipuji itu bagi meningkatkan perpaduan dalam negara yang pelbagai agama" amat dikesali.
Lim juga menyifatkan bantahan dan kritikan itu sebagai "bertentangan sama sekali dengan semangat dan mesej" Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Persidangan Majlis Gereja Dunia (WCC) di Kuala Lumpur Ogos lalu.
Abdullah dilaporkan sebagai pemimpin Islam pertama yang merasmikan persidangan WCC.
Menurut Lim lagi, sebagai negara di mana rakyatnya mengamalkan pelbagai agama utama dunia, Malaysia perlu menunjukkan contoh berhubung dialog antara agama dan antara tamaddun.