Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Santubong: 27 tahun PBB, akhirnya ke PAS jua

Sebut sahaja Gunung Santubong, hampir pasti semua orang di negara ini pernah mendengar mengenai hikayat Puteri Santubong dan Sejinjang sehingga ia menjadi lagu rakyat di negeri Sarawak.

Oleh itu, Kampung Santubong yang terletak 24 kilometer dari Bandar Kuching begitu terkenal di Sarawak kerana ia merupakan antara tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, seorang penduduk kampung itu, Ubadillah Mili kini resah apabila tanah-tanah di Kampung Santubong semakin kurang kerana ia telah diambil oleh pihak berkepentingan demi mengaut keuntungan.

“Saya lahir di Kampung Santubong sejak 48 tahun lalu. Santubong nama saja besar tapi banyak yang perlu dinaik taraf, sebab kalau kita lihat dengan jelas, tidak ada tempat makan, tandas awam, tidak ada.

“Selain itu, ada pihak berkepentingan nak ambil kesempatan terhadap Santubong. Orang besar yang ada kepentingan ambil tanah di kampung ini,

“Santubong tidak ada tanah kosong untuk generasi akan datang, sehingga kerajaan terpaksa ambil tanah dan bayar kepada pihak tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Ubadillah berkata, perkara ini terjadi disebabkan masalah pemimpin kampung di kawasan itu yang dilihat melepaskan tanah-tanah tersebut kepada pihak berkepentingan.

“Masalah dekat kampung ini, saya sudah usulkan kepada mereka supaya jangan diberikan tanah kepada pihak-pihak itu, tapi mereka sekadar dengar sahaja,” kesal bapa kepada lima anak itu.

Mengikut tinjauan Malaysiakini ke sekitar kampung ini, Santubong mempunyai pantai pasir berwarna putih dan jeti nelayan.

Terdapat juga Gunung Santubong menjadi pusat rekreasi apabila ramai pelancong yang mendaki gunung itu.

Manakala dari segi ekonomi pula, kebanyakan penduduk di situ menyara diri dengan menjadi nelayan dan bekerja sendiri.

Calon yang bertanding bagi pilihan raya negeri ke-11 Sarawak kali ini bagi kerusi dewan undangan negeri Pantai Damai adalah Dr Abdul Rahman Junaidi dari BN-PBB dan Zainal Abidin Yet dari PAS.

Dalam pilihan raya negeri ke-10, Abdul Rahman menang dengan memperoleh majoriti undi sebanyak 5,071.

Ubaidillah 27 tahun dalam PBB masuk PAS

Ubaidillah berkata, akibat tidak berpuas hati dengan tindakan pemimpin di kampung itu, beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengerusi Kampung Santubong dan menjawat jawatan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di bahagian cawangan beralih arah dengan mengundi PAS.

“Saya dalam PBB sejak 1985 sampai 2012, sebab saya tahu parti itu dapat perjuangkan generasi akan datang, tapi semakin akhir isu yang kita timbulkan tak dapat diselesaikan… akhirnya kita semua terpedaya.

“Akhirnya saya berjuang di pihak PAS, pada dasarnya apa yang saya perjuangkan ini amat mustahil untuk PAS selesaikan. Saya perjuangkan isu tanah, kembalikan hak kami untuk generasi-generasi kami.

“Kami tahu PAS adalah parti import, bukan parti dari sini dan kerusi yang dipertandingkan tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan.

“Tapi kita punyai iltizam dan azam supaya apa yang kita juang kan dapat didengari oleh pihak kerajaan. Kalau tidak dapat dengan Barisan, kita cuba dengan PAS mana tahu ada jalan dan kejutan,” katanya.

Ubaidillah memilih PAS kerana melihat kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang ‘underdog’, beliau berkata, cara menzahirkan kekecewaannya terhadap PBB dengan mengundi PAS.

“Kita lihat PAS bukan boleh menang dengan kapasiti kerusi (kecil) untuk tubuh kerajaan, kalau kita ambil keputusan undi PAS yang berpangkalan di Kelantan, tapi PAS mempunyai perancangan yang panjang.

“PAS akan sentiasa memantau dan mereka melihat sejauh mana penerimaan orang Sarawak terutamanya Pantai Damai terhadap PAS,” katanya.

Justeru Ubaidillah berharap dalam pilihan raya negeri ke-11 Sarawak ini, mereka yang bertanding tidak hanya menabur janji kepada rakyat miskin sebaliknya mengotakan apa yang telah dikatakan.

“Bagi saya di akhir pilihan raya negeri ini, saya tidak mahu dengar kata-kata tetapi perbuatan, kalau betul nak bantu penduduk kampung jangan cuma cakap tapi buat, jangan janji sahaja.

“Jangan beri harapan pada orang-orang miskin yang akhirnya pada pilihan raya mereka lahirkan rasa kekesalan dengan undi yang lain,” katanya.

Ketua Ranting PBB nafi dakwaan Ubaidillah

Sementara itu, Ketua Ranting PBB Kg Santubong, Ilias Kassim menafikan bahawa pemaju telah mengambil tanah penduduk sebaliknya menegaskan, Ubadillah membuat dakwaan itu kerana ‘tidak faham’.

“Sebenarnya saya rasa dia tak faham, mereka (pemaju) ambil hak tanah orang kampung tak betul sebab ada kita sudah ada e-kasih, kerajaan bantu baiki rumah, beri bantuan kepada nelayan, bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Masalah penempatan sedikit sahaja, dalam satu rumah ada empat orang, ia mustahil semua orang akan dapat, susah kita nak puaskan hati semua penduduk kampung,” katanya.

Ilias turut menegaskan bahawa tidak ada orang kampung yang keluar dari PBB dengan menyertai PAS kerana tidak berpuas hati isu mengenai pemaju mengambil tanah.

“Saya rasa tidak ada yang keluar dari PBB, dia cuma cakap sahaja. Sekarang ini, ia cuma politik nak pilihan raya.

“Hubungan kita dengan beberapa orang yang memang sudah PAS cukup baik, macam keluarga tapi yang keluar PBB masuk PAS tidak ada,” katanya.

Lihat Komen
ADS