Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengguna maya persenda logo KL dengan web penjana
Diterbitkan:  May 3, 2016 5:59 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Selepas dipertikaikan hebat di Internet, semakin ramai pihak tampil mempersendakan logo baru promosi pelancongan Kuala Lumpur yang dilapor menelan kos RM15,000.

Malah, sebuah laman web khusus dicipta untuk memudahkan pengguna meniru rekaan itu, tetapi menggunakan perkataan berbeza.

Daripada Kuala Lumpur, kini logo-logo itu digunakan bagi 'mempromosi' pelbagai tempat, seperti Gombak, Chuping, Perlis dan malah Yogyakarta di Indonesia.

Syarikat elektronik terkenal Xiaomi di Facebook laman Malaysia turut menggunakan rekaan sama untuk jenama mereka.

Bagaimanapun, berdasarkan komen-komen di laman sosialnya, ia dilihat seperti sekadar mengikut trend viral.

Tidak jelas siapa penyedianya, laman penjana beralamat di http://kl-logo.herokuapp.com itu dikatakan bertujuan menjana "logo sangat menarik" seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ia juga memaut laman itu kepada laporan yang menyebut pengguna maya mendakwa logo baru itu seperti menggunakan perisian mudah PowerPoint.

Minggu lalu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan logo dan slogan iklan (tagline) baru untuk mempromosikan pelancongan ibu kota.

Reka bentuk itu cuba menjenamakan Kuala Lumpur sebagai raya kontras dan kepelbagaian.

Bagaimanapun, tidak sampai sehari diperkenalkan ia mengundang kritikan hebat pengguna laman sosial yang berpandangan logo tersebut sangat ringkas dan mudah.

Malah, ada juga yang menyatakan pembikinan logo tersebut hanya mengambil masa lima minit untuk disiapkan selain hanya menggunakan templat.

Mengulas itu itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Amin Nordin Abd Aziz berkata Penjenaman baharu dan slogan iklan itu masih boleh diperkemas lagi.

Jelasnya, idea mencipta logo itu bukan dilakukan seorang sahaja dan dibincangkan dalam Biro Pelancongan Kuala Lumpur.

Katanya, masih banyak perancangan untuk mempromosi logo itu dan proses memantapkannya mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun.

Beliau bagaimanapun berkata terbuka untuk sebarang penambahbaikan dan menggalu-alukan cadangan kepada biro itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS