Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kes saman Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun terhadap saya mengenai satu kenyataan media berhubung skandal pembelian hartanah MARA di Australia bermula hari ini.

Peguam saya, William Leong (Ahli Parlimen Selayang) mendapat pelepasan daripada Yang Arif S Nantha Balan untuk menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan saya memfailkan satu affidavit memasukkan transkrip perbicaraan di Mahkamah Melbourne sebagai bahan bukti pihak saya.

Perbicaraan penuh akan bermula pada 6 dan 7 Jun 2016 ini.

Sementara kes ini melalui proses undang-undang di mahkamah, fakta-fakta berhubung urusniaga yang melibatkan MARA dan beberapa individu yang dikaitkan dengan pemimpin dari kalangan Pemuda Umno itu terus mendapat liputan.

Sehingga kini, tidak ada sebarang tindakan atau pengumuman mengesahkan dana MARA yang diselewengkan oleh individu-individu tertentu ini telah dipulangkan kepada MARA.

Dalam keadaan peruntukan untuk membiayai program pendidikan MARA dipotong mendadak sehingga biasiswa MARA dihapuskan dan jumlah penerima pinjaman pendidikan dikurangkan, kegagalan mendapatkan kembali dana MARA yang diselewengkan ini adalah satu pengabaian tanggungjawab di pihak kerajaan dan Umno.

Soalan perlu jawapan

Sebab itu saya berhak bertanyakan kepada Khairul Azwan Harun – sebagai Naib Ketua Pemuda Umno, apakah langkah-langkah yang telah beliau ambil untuk membantu MARA mendapatkan kembali dana yang diselewengkan ini kerana jumlahnya besar dan dapat membantu ramai pelajar Bumiputra?

Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Pergerakan Pemuda Umno untuk membantu MARA mendapatkan kembali dana ini?

Sudahkan sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana anggota Pemuda Umno yang dinamakan secara khusus di dalam dokumen-dokumen rasmi dan transkrip perbicaraan di Australia?

Jumlah yang diselewengkan bukanlah sedikit. Fakta-fakta berikut adalah hasil dari pengumuman MARA sendiri, jawapan menteri di Parlimen atau dokumen urusniaga yang dilaporkan secara meluas:

1. Sebuah syarikat bernama Thrushcross Land Holdings Ltd telah dibeli oleh MARA Inc dalam tahun 2014. Jumlah yang dibayar oleh MARA untuk membeli Thrushcross Land Holdings Ltd adalah A$86.9 juta (RM260.7 juta) iaitu A$64.4 juta (RM193.2 juta) bagi pembelian syarikat dan A$22.5 juta (RM67.5 juta) untuk membayar hutang syarikat itu. Jawapan ini diberikan oleh Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar di Parlimen.

2. Thrushcross Land Holdings Ltd dimiliki oleh individu-individu yang berkait dengan pimpinan Umno dan pemimpin dari kalangan Pemuda Umno. Perkara ini saya huraikan dalam kenyataan media saya.

3. Thrushcross Land Holdings Ltd membeli dua bangunan asrama pelajar pada harga yang jauh lebih rendah iaitu Unilodge Swanston Street pada harga A$23.5 juta (RM70.5 juta) dan Dudley House pada harga A$22.6 juta (RM67.8 juta). Jumlah kos pembelian dua asrama pelajar ini hanyalah A$46.1 juta sedangkan syarikat itu dijual pada harga A$64.4 juta kepada MARA Inc. Selain itu, MARA Inc juga mengambil alih hutang Thrushcross Land Holdings Limited dengan WBC Finance dan WBC Commercial Bill sebanyak A$22.5 juta.

4. Ini bermakna, MARA Inc bukan sahaja membeli dua asrama pelajar itu pada harga yang lebih mahal; malah ia juga membayar hutang yang digunakan oleh pemilik Thrushcross Land Holdings Ltd ini untuk membeli dua asrama pelajar itu yang kemudiannya dijual kepada MARA Inc.

5. Akibat dari penyelewengan ini, MARA Inc terpaksa menjual kedua-dua bangunan asrama ini dan hasrat penjualan itu telah diiklankan. Perunding hartanah antarabangsa iaitu Colliers menganggarkan bahawa setiap satu asrama itu bernilai A$30 juta pada harga semasa.

6. Maka, MARA Inc akan kerugian sebanyak A$26.9 juta (RM80.7 juta) iaitu jumlah yang dibayar A$86.9 juta tolak bidaan pembeli pada harga semasa A$60 juta.

7. Ini juga bermakna pemilik Thrushcross Land Holdings Limited iaitu individu-individu yang berkait dengan pemimpin Umno dan pemimpin dari kalangan Pemuda Umno ini memperolehi keuntungan durian runtuh sebanyak A$40.8 juta (RM122.4 juta).

8. Daripada jumlah RM122.4 juta keuntungan atas angin itu, sebanyak A$4.75 juta (RM14.25 juta) dibayar kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan individu dan pemimpin dari kalangan Pemuda Umno.

Saya khuatir penyelewengan dana MARA yang membawa kesan besar kepada pelajar Bumiputra ini didiamkan begitu sahaja dan dana yang diselewengkan tidak dirampas dari individu-individu terbabit.

Oleh yang demikian, saya mencabar Khairy Jamaluddin atau Khairul Azwan Harun atau kedua-duanya sekali berdebat mengenai penyelewengan dana MARA ini untuk membuktikan bahawa Pemuda Umno telah menjalankan tanggungjawabnya menjaga dana awam Bumiputra tersebut.


RAFIZI RAMLI Setiausaha Agung PKR, Naib Presiden PKR dan Anggota Parlimen Pandan

Lihat Komen
ADS