Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mahathir juga tak sama macam bapa'
Diterbitkan:  May 3, 2016 10:16 PM
Dikemaskini: 2:25 PM

Selepas Datuk Seri Najib Razak dituduh 'berbeza' daripada bapanya, Tun Dr Mahathir pula didakwa tidak seperti bapa bekas perdana menteri itu.

Pembantu Rosman Mansor berkata, "dalam bahasa mudah" Mahathir sendiri juga berbeza daripada bapanya yang bekerja sebagai guru sedangkan Mahathir menjadi doktor sebelum menjadi ahli politik.

Sebenarnya, kata Datuk Rizal Mansor, tidak susah untuk memahami apa dimaksudkan Najib mengenai perbezaan beliau dengan ayahnya allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

"Beliau membezakan gaya orang dulu dan zaman sekarang. Tiada apa yang pelik. Sedangkan orang-orang kampung di Pekan dengan mudah memahami maksud kata-kata Datuk Seri Najib (tetapi) malangnya insan yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun mentafsirkannya begitu jauh (daripada maksud sebenar) yang langsung tidak boleh masuk akal kita," katanya (gambar) dalam kemas kini status di Facebook hari ini.

Kenyataan Rizal itu dibuat sebagai reaksi kepada ucapan Mahathir di Jitra beberapa hari lalu.

Dalam ucapannya Mahathir mendakwa Najib memperkecilkan Abdul Razak kerana tidak mencontohi perdana menteri kedua Malaysia itu.

Najib menjelaskan perbezaan dirinya dengan Abdul Razak ketika berucap di Pekan.

Lupa rasa hutang budi

Kata Rizal ucapan Najib di Pekan menjurus kepada perbezaan pendekatan pentabdiran antara perdana menteri sekarang dengan dulu.

"Ini ditafsir dan diputar oleh Tun Mahathir sebagai Najib menganggap Tun Razak useless (tidak berguna).

"Dalam bahasa mudah, Tun Mahathir sendiri pun tidak sama dengan ayahnya. Kerana ayah beliau seorang guru manakala Mahathir seorang doktor yang kemudiannya menjadi ahli politik," katanya.

Rizal juga kecewa apabila suatu ketika dahulu Mahathir pernah buat pengakuan betapa nyawa politiknya diselamatkan bapa Najib dengan dilantik menjadi penteri pelajaran selepas dipecat daripada Umno oleh Tunku Abdul Rahman pada 1969.

"Namun segala rasa amat terhutang budi yang tidak akan dilupakan bertukar menjadi kata-kata cacian hina hanya disebabkan (Mahathir) gagal menjatuhkan anak allahyarham iaitu Datuk Seri Najib Razak.

"Selepas gagal menyerang Datuk Seri Najib, kini muncung meriam dihalakan pula (kepada) allahyarham (bapa) beliau iaitu Tun Abd Razak Hussein," katanya.

Justeru kata Rizal apakah kerana terdesak maka Mahathir tergamak memfitnah Najib yang diketahui umum amat menghormati, menyanjung tinggi dan sangat menyayangi ayahnya.

"Atau sememangnya Tun Mahathir cuba mengatakan Tun Razak sebagai useless?" katanya.

Lojiknya, menurut Rizal tiada insan normal yang sanggup menghina ibu atau bapa sendiri, terutama jika mereka sudah meninggal dunia.

Kepada sesiapa yang mengenali Najib secara dekat, katanya, tentu tidak akan dapat menerima langsung tohmahan Mahatir tersebut.

"Apakah setelah tiada peluru lain untuk ‘menembak’ Dato’ Sri Najib maka Tun Mahathir sudah mula hilang pertimbangan dengan mencipta fitnah baru asalkan dapat melepaskan tembakan?

Sekurang-kurangnya Dato’ Sri Najib berjaya ikut jejak langkah ayahandanya menjadi seorang perdana menteri sebaliknya anak manja Tun Mahathir semakin jauh daripada mengikuti jejak langkahnya," kata Rizal.

Lihat Komen
ADS