Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ANALISIS Selepas menyertai pilihan raya negeri Sarawak sejak 2001 tanpa memenangi sebarang kerusi, PAS berpeluang mendapat 'anak sulungnya' kali ini, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.

Beting Maro, dengan 10,528 pengundi dan 90 peratus daripadanya Melayu Melanau itu, antara kerusi panas ekoran perbezaan majoriti sangat tipis dalam pilihan raya negeri yang lalu.

Kawasan pedalaman itu hanya mempunyai lapan peratus pemilih Iban dan dua peratus Cina.

Walaupun PAS berpotensi menang di kawasan itu, parti Islam itu perlu berhati-hati berdepan 'gelombang biru' yang mungkin muncul di saat-saat akhir menjelang hari pengundian 7 Mei (Sabtu) ini.

Bagaimanapun, kali ini DUN dalam parlimen Batang Lupar itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH).

BN meletakkan penyandangnya Datuk Razaili Gapor manakala PAS meletakkan seorang wanita muda Hamidah Mokhtar, 26, menggantikan Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus yang menyertai AMANAH.

Ahmad Kerdee, walaupun dilihat mempunyai personaliti menarik di kalangan pemilih, tidak bertanding kali ini. AMANAH sebaliknya menampilkan calon baru Andri Zulkarnaen Hamden.

Bagaimanapun, sebagai parti batu, rata-rata penduduk berkata 'perlawanan' sebenar di Beting Maro masih antara PAS dan BN.

Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, keputusan Sabtu ini akan ditentukan oleh pengundi di dua buah kampung yang mempunyai pemilih teramai, iaitu Pusa – perkampungan Melayu terbesar – dan Beladin.

Calon lama, masalah lama

Di atas kertas, Razaili, anak tempatan kelahiran Beladin dan bekas pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), mungkin mempunyai sedikit kelebihan di perkampungan nelayan terbesar di Sarawak itu.

Namun, dengan masalah yang melanda kawasan itu sejak sekian lama, tiada bekalan air bersih dan protes kepada kepimpinannya di kawasan yang sejauh 301 kilometer dari Kuching dan 144 kilometer dari Sibu itu.

Walaupun ada penduduk yang berpuas hati dengan pembangunan seperti sekolah dan masjid di kawasan berkenaan, namun bekalan air bersih tetap menjadi faktor penting di kawasan itu.

"Masalah air tak pernah selesai dari dulu lagi. Air tak ada. Untuk minum kita beli tapi kalau nak guna pakai air hujan. Benda ini dari dulu lagi. Dah puluh tahun.

"Saya rasa macam nak tukar (wakil rakyat)," kata seorang pemilih Jamaiah Husaini, 48, ketika ditemui Malaysiakini.

Pengawal keselamatan Rahman Morsidi, 52, turut meluahkan rungutan sama apabila beliau terpaksa membeli enam mesin pam air.

"Tengok ini semua saya beli pakai duit sendiri. Kerajaan tak bantu. Mereka hanya bagi tong tadah air hujan. Air di sini kotor.

“Kita nak ambil wuduk untuk solat pun susah," katanya sambil menunjukkan mesin pam air yang dibelinya.

Sementara itu, pemilihan Razaili sekali lagi sebagai calon juga didakwa mendapat reaksi kurang senang daripada orang lama parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kawasan berkenaan.

Penganalisis: Tak benci BN tapi...

Perkara ini diakui oleh pemerhati politik Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi yang membuat penyelidikan bersama pasukannya di Beting Maro.

Awang berpendapat PAS mungkin akan menang di Beting Maro ekoran pelbagai rungutan pengundi.

Menurut Awang, hasil penyelidikan pasukannya dari Universiti Malaya (UM) mendapati, Razaili kurang mesra pengundi.

Malah, isu melibatkan pemilihan ketua kampung juga dikatakan bakal menyebabkan penduduk ingin bertukar angin.

Bagaimanapun jelasnya, tindakan yang ingin diambil penduduk bukan disebabkan tidak suka kepada kerajaan atau Ketua Menteri Sri Adenan Satim, sebaliknya hanya bersifat setempat.

"Mereka tak benci BN dan Adenan. Mereka sayang Adenan. Tetapi mereka tak puas hati terhadap calon.

"PAS mungkin boleh menang bagaimanapun ia terpulang pada dua hari sebelum pilihan raya sama ada untuk melihat 'bom berantai' yang dibuat oleh BN," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengulas mengenai AMANAH, Awang yang merupakan pensyarah di Jabatan Sosiobudaya turut berpendapat bahawa parti baru itu masih lagi belum bertapak di negeri ini.

"AMANAH parti baru. Belum bertapak. AMANAH dan PAS perlu bergabung tenaga kalau betul nak perjuangkan Islam, mereka perlu bekerjasama," katanya.

Beliau juga berkata kedatangan ramai pemimpin negeri dan ahli politik ke kawasan itu menunjukkan Beting Maro kini dalam keadaan kritikal.

Lihat Komen
ADS