Kapal perang Indonesia kawal Laut Sulawesi

   

JAKARTA: Indonesia telah menghantar tiga kapal perangnya ke Laut Sulawesi yang kaya dengan simpanan minyak dan gas, yang menjadi rebutan antara Malaysia dan republik itu.

Ketiga-tiga kapal perang tersebut kini sudah berada di kawasan perairan tersebut, yang terletak tidak jauh dari negeri Sabah dan wilayah Kalimantan, Indonesia, kata jurucakapnya, Laksamana Pertama Abdul Maliki Yusuf kepada AFP.

Kapal perang keempat akan bertolak ke perairan itu kemudian, kata Yusuf, sambil menambah, pihaknya juga mungkin menghantar sebuah kapal selamnya ke Laut Sulawasi.

"Adalah perkara biasa bagi Tentera Laut Indonesia membuat rondaan rutin di kawasan sempadannya, tetapi berikutan ketegangan tersebut, maka adalah perlu bagi kami menguatkan kehadiran dan kedaulatan kami di sana," kata Yusof.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapat laporan yang pesawat tentera Malaysia telah terbang memasuki wilayah Indonesia.

Ketegangan itu timbul selepas Petronas memberikan konsesi carigali minyak dan gas kepada Shell, di dua telaga minyak dan gas di Laut Sulawesi yang didakwa oleh Indonesia berada di dalam wilayahnya.

Bantahan rasmi

Indonesia menegaskan Blok Ambalat dan Blok East Ambalat di perairan sebelah timur Pulau Kalimantan itu telah lama diurus oleh pemerintah Indonesia dan kontrak pengelolaan diberikan kepada syarikat ENI dari Itali dan syarikat Unocal dari Amerika Syarikat pada tahun 1960-an.

Petronas menandatangani kontrak konsesi berkenaan pada 16 Februari lalu setelah Shell memenangi tender yang dibuat pada September 2004.

Tuntutan Malaysia ke atas kawasan minyak itu telah dibantah oleh Indonesia sejak tahun 1980.

Kerajaan Indonesia juga telah menghantar bantahan rasmi kepada Malaysia berhubung perkara tersebut, tetapi minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata kawasan yang dipertikai Indonesia itu berada di dalam wilayah Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, perkara ini memang dalam pengetahuan syarikat minyak negara, Petronas.

Sebelum ini, Malaysia dan Indonesia terbabit dalam pertikaian berhubung pemilikan dua buah kepulauan kecil di Laut Sulawesi.

Bagaimanapun, pada Disember 2002, Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah memutuskan bahawa kepulauan Ligitan dan Sipadan, berdekatan pulau Borneo adalah milik Malaysia.

- AFP

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In