Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kadir: 'Racun' Najib boleh beri kesan kepada Adenan, BN

ULASAN l Saya tidak menyentuh mengenai pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang sedang berjalan sekarang kerana dua sebab pokok.

Pertama, saya tidak pakar dalam hal politik negeri itu dan kedua, saya mahu berkecuali.

Namun untuk rekod, izinkan saya membuat sedikit pemerhatian rambang jarak jauh berdasarkan apa yang saya baca, dengar dan bincang dengan kawan-kawan yang lebih arif mengenai politik Sarawak.

Ada keistimewaan kepada PRN ini kerana ia adalah PRN pertama selepas era Tun Abdul Taib Mahmud selama 33 tahun.

Rakyat Sarawak, khususnya yang cergas dan faham politik, sudah letih (fatigue) di bawah pentadbiran Abdul Taib dan mahukan perubahan.

Sejak mengambil alih jawatan ketua menteri pada 1 Mac tahun lalu, Tan Sri Adenan Satem yang pada awalnya dianggap sebagai pengganti sementara berjaya membawa kelainan dan pada pandangan mata kasar, menjadi begitu popular dalam jangka masa yang singkat.

Dia telah diangkat oleh media massa ke tahap wira rakyat (folk hero) dan berkemungkinan menterjemahkan kedudukannya menjadi undi.

Terlindung daripada politik nasional

Walaupun Sarawak tersentuh teruk oleh masalah ekonomi, khususnya akibat kejatuhan harga petroleum mentah dan hasil pertanian desa, ia lebih terlindung daripada angkara politik nasional.

Kemelut politik yang dicetuskan oleh skandal 1MDB, SRC International Sdn Bh dan “derma” RM2.6 bilion (atau lebih) dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak rasanya tidak mempengaruhi politik Sarawak seteruk ia mempengaruhi politik negeri-negeri lain.

Ini adalah kerana politik Sarawak terlindung daripasa politik nasional sebab ia diperintah oleh Barisan Nasional negeri yang tiada kaitan dengan parti-parti BN pusat.

BN Sarawak terdiri daripada parti-parti anak negeri dan dengan itu pengaruh BN pusat ke atas politik Sarawak adalah terhad.

Najib tetap beracun

Namun begitu, cara Adenan dan BN Sarawak menjalin dan mempamerkan perhubungan dengan Kerajaan Pusat, khususnya dengan Perdana Menteri, boleh memberi kesan negatif kepada keunikan Adenan dan peluang BN Sarawak menang besar.

Najib tetap beracun kepada sebilangan pengundi Sarawak, khususnya di bandar-bandar dan di kalangan pemilih yang berpendidikan tinggi

Parti-parti pembangkang, khususnya DAP, mempunyai harapan yang berpatutan untuk terus mengekalkan pengaruh di kawasan bandar di mana ramai pemilih Cina.

Kegagalan parti-parti Pakatan Harapan, khususnya DAP dan PKR, menyetujui pembahagian beberapa buah kerusi mungkin memberi gambaran negatif kepada pemilih dan menjejaskan harapan mereka untuk terus mara seperti yang mereka lakukan pada PRN 2011.

Persamaan Adenan dan Pak Lah

Ada persamaan di antara kedudukan Adenan sekarang dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam Pilihan Raya Umum 2004.

Abdullah menang besar selepas mengambil alih teraju pentadbiran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad yang mentadbir selama 22 tahun.

Pengundi Sarawak mungkin memberi sokongan yang serupa kepada Adenan kerana mengharapkan perubahan dan kelainan.

Cuma imej Adenan sebagai “folk hero” tercemar apabila beliau “merestui” tindakan menghalang beberapa orang pemimpin politik Semenanjung daripada memasuki Sarawak.

Nampak seolah-olah beliau tidak demokratik dan takut cabaran.


DATUK A KADIR JASIN Tokoh Wartawan Negara dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times. Artikel ini pertama kali disiarkan menerusi blognya - The Scribe A Kadir Jasin.

Lihat Komen
ADS