story image
mk-logo
Berita
DAP dakwa ada pengundi disogok hingga RM2,000
Diterbitkan:  May 5, 2016 5:00 AM
Dikemaskini: 6:43 AM

Menjelang pilihan raya negeri Sarawak yang masih berbaki dua hari lagi, rasuah politik makin berleluasa di Sarawak ketika ini dengan ada antara pengundi disogok sehingga RM2,000 seorang, dakwa Lim Kit Siang.

Ketua Ahli Parlimen DAP itu berkata, di sebalik suasana 'kegilaan' politik wang dan ugutan terhadap calon DAP, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih terus mengambil pendekatan “tidak nampak, tidak dengar dan membisu”.

“Pengundi ambil sahaja apa yang diberikan, tetapi hendaklah undi untuk ubah dan demi generasi akan datang," kata beliau yang juga ahli parlimen Gelang Patah dalam kenyataannya.

Ketika menteri-menteri Persekutuan dan negeri melanggar peraturan pilihan raya dengan mengumumkan peruntukan dan kelulusan pembangunan projek, SPR langsung tidak menggerakkan usaha memastikan pilihan raya negeri itu dijalankan secara adil, bebas dan bersih, tambahnya.

"Oleh itu, saya menyimpulkan bahawa SPR telah gagal menjalankan tugasnya untuk mengadakan pilihan raya yang bebas, adil, bersih dan demokratik," ujarnya.

BERSIH telah mengenal pasti 11 dakwaan kesalahan pilihan raya di Sibu yang didakwa turut melibatkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan empat lagi calon daripada kedua-dua belah pihak.

Dalam laporannya, kumpulan itu menyenaraikan 11 dakwaan kesalahan, iaitu dakwaan rasuah pilihan raya, dakwaan penyalahgunaan harta kerajaan untuk kegunaan peribadi bagi bertanding dalam pilihan raya dan meletakkan bahan kempen dalam jarak 50 meter dari tempat mengundi.

Antaranya calon berjanji untuk memberikan setiap penduduk RM500 sebelum pilihan raya dan RM200 lagi selepas pilihan raya jika dia menang dan dilihat memberi sampul kepada penduduk rumah panjang yang terbakar yang dipercayai mengandungi wang.

Terdahulu, pemimpin veteran DAP itu turut menyatakan kebimbangan parti itu yang tidak boleh bersaing dengan baik dalam pilihan raya negeri Sarawak jika politik wang menjadi faktor penentu.

"Jika pilihan raya Sarawak pada 7 Mei akan diputuskan oleh kuasa wang, ia akan menjadi bencana bagi DAP Sarawak," katanya.

Mengulas lanjut, Lim turut berkata, pihaknya kini meragui sama ada pasukan Adenan atau pasukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Antara sebab keraguan itu ialah Najib telah mengadakan mesyuarat kabinet di Sarawak kononnya bagi menyokong kepimpinan Adenan tetapi menolak permintaan BN Sarawak untuk mendapatkan 20 peratus royalti minyak.

"Kenapa Najib tidak menunggu sehingga 7 Mei yang memberi berita buruk sedemikian kepada rakyat Sarawak?

"Apakah kini akhirnya terbukti bukan Pasukan Adenan dan cara Adenan tetapi Pasukan Najib dan cara Najib," jelasnya.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS