Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO Islam bantah pelantikan Edmund Bon ke AICHR
Diterbitkan:  May 5, 2016 1:33 PM
Dikemaskini: 5:42 AM

Kira-kira 43 wakil pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berhimpun di Pejabat Perdana Menteri hari ini, bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap pelantikan Edmund Bon Tai Soon selaku wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN berhubung Hak Asasi Manusia (AICHR).

Memorandum bantahan itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Perdana Menteri di pejabatnya pagi tadi diketuai Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya, lapor Ismaweb.net .

Portal itu melaporkan, kandungan memorandum bantahan itu menuntut supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membatalkan pelantikan Edmund Bon dengan kadar segera berikutan 'pendirian ekstremis liberalnya, anti kepada Perlembagaan, Melayu dan Islam'.

Kandungan memorandum itu turut meluahkan kebimbangan terhadap pelantikan Edmund yang disifatkan 'bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia' serta 'menggugat kedudukan Islam dan mengancam kepentingan Melayu'.

Antara NGO yang menyokong memorandum bantahan ialah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Young Professionals (YP), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muafakat, Pro Muslim, Pertubuhan Anak Watan Malaysia (WATAN), PERKID, Yayasan Murni Aqidah, Persatuan Jaringan Kasih dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

1 April lalu, Kementerian Luar Negara melantik Edmund Bon sebagai wakil Malaysia ke AICHR yang menggantikan Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah bagi penggal 2016 hingga 2018.

Namun, tiga hari selepas pelantikan ahli Majlis Peguam itu, NGO Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) telah menghantar surat bantahan terhadap pelantikan tersebut kepada Kementerian Luar Negara.

Bagaimanapun, Ismaweb.net melaporkan respon yang diterima beberapa hari kemudian daripada kementerian tersebut mendukacitakan yang menyatakan kepercayaan terhadap kredibiliti Edmund dalam menggalas tugas itu.

Lihat Komen
ADS