Malaysiakini
BERITA

'Team Najib' tampar ‘Team Adenan’, kata Kit Siang

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Mei 2016, 9:20 pagi

Pemimpin supremo DAP, Lim Kit Siang hairan mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menolak permintaan Sarawak untuk mendapatkan royalti minyak 20 peratus kurang tiga hari menjelang hari pengundian.

Beliau berkata ini tidak lain daripada "tamparan terbuka di muka" Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

"Kenapa Najib tidak dapat menunggu sehingga selepas keputusan pilihan raya pada 7 Mei ini untuk menyampaikan berita buruk itu kepada rakyat Sarawak?" soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata ini mungkin kerana isu-isu di negeri itu tidak diputuskan oleh "Team Adenan dan Adenan Way" tetapi oleh "Team Najib dan Najib Way".

Lim juga menafikan alasan yang diberikan berhubung penolakan itu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai "terlalu mengampu dan satu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat Sarawak".

Zahid mempertahankan keputusan Najib untuk menolak permintaan royalti minyak selepas mesyuarat kabinet di Kuching semalam, apabila perdana menteri berkata ia bukan masa yang sesuai untuk mempertimbangkan perkara berkenaan.

Menurut Zahid, jumlah RM20 bilion dalam peruntukan yang diberikan kepada Sarawak oleh kerajaan persekutuan adalah lebih daripada 20 peratus royalti minyak negeri itu.

Lim juga membidas dakwaan Zahid bahawa lokasi mesyuarat mingguan kabinet dari Putrajaya ke Kuching adalah untuk mempamerkan sokongan jemaah menteri kepada Adenan.

"Ini cara sangat pelik dan lucu untuk jemaah menteri menyokong ketua menteri kerana mereka sepatutnya meluluskan permintaan Adenan untuk mendapatkan royalti minyak 20 peratus.

"Sebaliknya, mesyuarat kabinet di Kuching memutuskan untuk menolak permintaan royalti minyak 20 peratus Adenan dan mendakwa ini sebagai sokongan kepada ketua menteri!

“Bagaimana ini boleh dilihat sebagai cara untuk menyokong Adenan?" soalnya.

Beliau juga mendakwa ini bukan kali pertama bahawa pemimpin persekutuan dan negeri BN menghina kebijaksanaan rakyat Sarawak dengan membuat "kenyataan bodoh".

[Baca berita penuh]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.