Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Ku Chin Wah isytihar 22 kali perolehan harta pada PDRM
Diterbitkan:  May 5, 2016 7:51 PM
Dikemaskini: 11:55 AM

Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah telah 22 kali mengisytiharkan perolehan harta miliknya sepanjang 35 tahun perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

DSP Amran Ab Rashid dari bahagian Rekod, Tapisan, Harta Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard PDRM, Bukit Aman, berkata pengisytiharan itu direkodkan dalam sumber pangkalan data sistem maklumat pengurusan sumber manusia (Hrmis) dengan kali terakhir pengisytiharan dibuat pada 3 Februari 2016.

"Sebanyak 22 kali Datuk (Ku) buat pengisytiharan harta sepanjang kerjaya dia," katanya dalam perbicaraan kes Ku, 58, yang didakwa gagal mengisytiharkan segala perolehan dalam pernyataan bertulis dengan bersumpah pada Januari 2014.

Amran berkata berdasarkan rekod terkini Hrmis, Ku telah mengisytiharkan pelbagai jenis aset yang dimiliki atas namanya dan isteri termasuk rumah, rumah kedai, kenderaan, saham dan duit simpanan keseluruhan berjumlah RM3.19 juta dalam maklumat penuh rekod harta atau set personel sistem Hrmis.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Ku pada hari kedua perbicaraan itu.

Amran yang bertugas di PDRM sejak 2003, bertanggungjawab menyelia dan memproses borang pengisytiharan harta bagi anggota berpangkat ASP dan ke atas.

Terdahulu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed, saksi itu menjelaskan pengisytiharan harta diisi sendiri ke dalam sistem Hrmis oleh mana-mana pegawai polis termasuk Ku.

"Apabila pegawai polis memiliki sama ada kenderaan bermotor, tanah atau rumah kediaman, akan mengisi dalam sistem Hrmis.

"Selepas mengisi butir yang dikehendaki, seseorang pegawai itu hendaklah mencetak borang tersebut manakala bagi pangkat ASP ke atas, borang itu hendaklah dihantar ke unit harta benda Bukit Aman," katanya.

Ku, yang kini berkhidmat di bahagian urusetia JSJ Bukit Aman, didakwa gagal mematuhi terma notis Pendakwa Raya di bawah Seksyen 49(1) (AMLATFA) bertarikh 23 Disember 2013 yang mana tertuduh gagal mengisytiharkan segala punca perolehan dalam pernyataan bertulis dengan bersumpah bertarikh 8 Januari 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 23 Disember 2013 dan 21 Januari 2014.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 49(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta, penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sohaini Alias bersambung 16 Mei.

- Bernama

Lihat Komen
ADS