Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Buku Faisal Tehrani, terbitan Unit Buku Harakah diharamkan
Diterbitkan:  May 7, 2016 2:23 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Sebuah lagi buku pengarang terkenal Faisal Tehrani diharamkan kerajaan, menjadikan keseluruhan enam buah.

Bagaimanapun, berbeza dengan sebelumnya, karya kali ini bukan berbentuk fiksyen.

Buku itu, Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan diterbitkan oleh Unit Buku Harakah yang beralamat di Kuala Lumpur.

Ia dikatakan cuba mengupas filem sebagai medium dakwah ketika sinema Malaysia tepu dengan filem seram.

Berdasarkan warta kerajaan persekutuan, pengharaman itu dikeluarkan berdasarkan Subsyeksyen 7(1) Akta mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Alasan diberikan, penerbitan itu mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai dan mungkin memudaratkan kepentingan awam.

Buku-buku lain Faisal yang diharamkan adalah iaitu Sebongkah Batu di Kuala Berang, Karbala, Tiga Kali Seminggu dan Ingin Jadi Nasrallah dan Perempuan Nan Bercinta.

Tulisan Faisal sering dikaitkan dengan fahaman Syiah.

Faisal mencabar larangan itu di mahkamah atas alasan perintah larangan terhadap karyanya bertentangan dengan perlembagaan persekutuan yang memperuntukkan kebebasan bersuara.

Sementara itu, penerbit buku indie terkenal Mutalib Othman juga mendakwa buku syarikatnya Dubook Press yang bertajuk #TheAmranFans juga telah diharamkan.

“Kini Dubook ada dua buah buku yang telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Diharamkan untuk dijual di mana-mana,” kata Mutalib Othman di Facebook beliau.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini dalam senarai perintah larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati buku terbabit belum dimuatkan.

Sebelum ini, sebuah buku Orang Ngomong Anjing Gong Gong diharamkan pada 22 April lalu kerana didakwa mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kemoralan.

Lihat Komen
ADS